Usaha

Usaha Tangga Kejayaan.

Ikhlas

Ikhlaskan diri dalam pembelajaran.

Tawakal

Berserah kepada Tuhan selepas berusaha.
 

Kaedah Pengajaran Pendekatan struktural

 Dalam menjalankan pengajaran di bilik darjah terdapat tiga kaedah pengajaran yang biasanya dijalankan oleh para guru iaitu kaedah deduktif, kaedah induktif, dan kaedah eklektik. Kaedah deduktif dan induktif ini tidak mempunyai banyak perbezaan. Sebagai jalan keluar, satu kaedah lain telah disarankan dengan menggabungkan unsur-unsur penting daripada kedua-dua kaedah iaitu kaedah deduktif dan kaedah induktif bagi menghasilkan suatu streategi kaedah pengajaran yang berkesan yang dikenali sebagai Kaedah Eklektik.
 
Kaedah ini mencantumkan kedua-dua unsur yang baik dalam pendekatan deduktif dan induktif untuk menghasilkan satu strategi pengajaran. Guru bahasa boleh memulakan pengajarannya dengan memberi contoh-contoh berkenaan sesuatu unsur dan meminta contoh-contoh mengenai perkara yang sama daripada pelajar-pelajar. Selepas itu guru membimbing pelajar-pelajar untuk membuat pernyataan mengenai rumusan tatabahasa yang terlibat. Selepas itu, guru juga boleh meminta pelajar memulakan pengajarannya dengan memberi rumusan tatabahasa yang berkenaan. Kemudian pelajar diminta memberi penjelasan mengenai rumusan tersebut dengan contoh-contoh yang sesuai.
Antara kelebihan pendekatan eklektik ialah:
i. Guru tidak terikat kepada satu kaedah pengajaran sahaja.
ii. Guru bebas menggunakan daya kreativitinya sendiri dalam mengajar.
iii. Latihan kefahaman misalnya, dapat dijalankan dengan diikuti oleh latihan bertutur , membaca dan menulis.
iv. Pelajar berpeluang berfikir terus di dalam bahasa yang dipelajari dan menggunakannya secara aktif. Kemahiran pasif (mengenai rumusan tatabahasa) dan aktif (penggunaan bahasa) dapat dijalankan serentak didalam satu pelajaran.
Untuk menjadikan kaedah yang digunakan berkesan guru perlu memilih dan menggunakan teknik-teknik yang bersesuaian agar isi pelajaran yang disampaikan difahami oleh murid tanpa halangan. Setiap kaedah yang dibincangkan memerlukan guru melaksanakan langkah-langkah yang tertentu bagi menyampaikan pengajarannya. Ciri-ciri khusus yang ada pada sesuatu prosedur pengajaran seperti langkah-langkah pengajaran yang dilaksanakan, cara penyampaian bahan dan bahan bantu mengajar digelar teknik pengajaran.
Walau pun setiap pendekatan dan kaedah mempunyai teknik pengajaran yang tertentu tetapi dalam sesuatu pengajaran bahasa, guru sering menggabungkan beberapa teknik pengajaran bagi menghasilkan satu strategi pengajaran bahasa yang berkesan. Antara teknik-teknik pengajaran yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran tatabahasa ialah teknik simulasi, sumbangsaran, soal jawab, latih tubi, kuiz dan teknik permainan bahasa.
Maka dalam tugasan ini saya telah memilih kaedah eklektik dalam proses pengajaran imbuhan me-, mem-, dan men-, di bilik darjah.
Langkah-Langkah Pengajaran
Langkah 1:
Guru menerangkan fungsi imbuhan me-, mem-, dan men- melalui perkataan-perkataan yang terdiri daripada kata dasar yang mengandungi kata kerja sebagaimana yang telah dihuraikan pada bahagian yang terdahulu. Namun begitu, dalam sesi pengajaran guru mestilah menggunakan senarai ayat-ayat yang diberi atau ditulis di papan hitam sebagai asas titik-tolak. Ini kerana, senarai tersebut amat penting dijadikan bahan panduan yang penting semasa guru mengajar.
Selepas selesai guru menerangkan fungsi imbuhan me-, mem-, dan men- melalui perkataan-perkataan terbitanya dalam ayat-ayat yang telah disenaraikan itu, para pelajar seharusnya boleh mengetahui dan memahami fungsi imbuhan me-, mem-, dan men- dalam menerbitkan kata yang baru setelah mengalami proses pengimbuhan pada golongan kata dasar iaitu kata kerja.
Disinilah kaedah eklektik diaplikasikan sepenuhnya. Guru boleh memilih untuk menggunakan atau memberi contoh-contoh yang bersesuaian kepada pelajar terlebih dahulu agar mudah bagi para pelajar nampak dengan jelas hala tuju pengajaran dan pembelajaran. Kemudian, guru boleh menerangkan tentang rumus tatabahasa berpandukan pendekatan struktural untuk mengelakkan berlakunya kesilapan semasa mengajarkan imbuhan me-, mem-, dan men-.
Teori pendekatan struktural hanya perlu diketahui oleh guru sahaja dan tidak perlu diajar kepada para pelajar secara mendalam. Guru hanya boleh memberi penerangan sahaja melalui contoh-contoh yang mudah serta bertepatan dengan pengajaran berasaskan pendekatan struktural.
Langkah 2:
Sebaik sahaja guru selesai menerangkan fungsi perkataan-perkataan terbitannya dalam tiap-tiap satu ayat yang diberi itu, guru sebaik-baiknya menerangkan pula makna tatabahasa yang dibawa oleh imbuhan me-, mem-, dan men- terhadap kata kerja dasar yang diimbuhkan dengannya itu. Contohnya dapat kita perhatikan dengan teliti di bawah:
IMBUHAN
KATA KERJA (KATA DASAR)
KATA TERBITAN
MAKNA
CONTOH AYAT
Me-
putih
memutih
Menjadi putih
Rambutnya sudah memutih.
Mem-
panjang
memanjang
Menjadi panjang
Perbualannya makin memanjang
Men-
kecut
mengecut
Menjadi kecut
Belon makin mengecut sedikit demi sedikit


Jadual: kehadiran imbuhan kepada kata dasar.

Langkah 3:
Bagi menguji kefahaman sama ada para pelajar telah memahami penggunaan perkataan-perkataan terbitan imbuhan me-, mem-, men-, dengan makna yang dibawa oleh perkataan-perkataan itu, maka latihan-latihan tertentu haruslah diberi sejurus selesainya proses pengajaran imbuhan tersebut dilakukan. Guru haruslah bijak menentukan waktu yang sesuai dalam memberikan latihan kepada para pelajar sama ada diberi pada akhir pembelajaran ataupun dalam pelajaran berikutnya. Oleh itu, sebagai seorang guru pengurusan masa adalah sangat penting dalam mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran. Terdapat pelbagai teknik yang guru-guru boleh gunakan semasa pengajaran imbuhan meng-, menge-, dan meny- berdasarkan pendekatan struktural. Antaranya:
a) Teknik Simulasi
Guru boleh menggunakan teknik simulasi dengan menggunakan pendekatan struktural untuk mengajarkan imbuhan me-, mem-, men- kepada murid-murid. Teknik ini diklasifikasikan sebagai satu situasi yang diwujudkan hampir menyerupai keadaan sebenar. Pada kebiasaannya, teknik ini memerlukan murid-murid berinteraksi sesama sendiri berdasarkan peranan masing-masing bagi membuat keputusan menyelesaikan masalah, isu atau tugasan yang diberikan.
Dalam konteks ini, guru akan membahagikan murid-murid pada beberapa kumpulan kecil. Seterusnya, guru akan memberikan satu petikan pendek. Kemudian guru akan memastikan murid-murid mengenal pasti dan mencari perkataan yang menggunakan imbuhan me-, mem-, men-. Guru akan meminta murid-murid membina ayat berdasarkan perkataan tersebut selepas murid-murid dapat mengenal pasti perkataan-perkataan tersebut. Melalui teknik ini, murid-murid dapat berbincang dan membina ayat mengikut perkataan yang telah dikenal pasti tadi. Setelah itu, guru akan mengarahkan wakil dari setiap kumpulan untuk membentangkan hasil perbincangan mereka. Dalam situasi ini, guru dapat menggabungjalinkan teknik perbincangan dalam teknik simulasi. Oleh hal yang demikian, guru dapat mengetahui kelemahan murid-murid dalam menggunakan imbuhan me-, mem-, men- semasa proses pembinaan ayat. Menerusi teknik ini, pelbagai kemahiran dapat diserapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran terutamanya kemahiran lisan, membaca dan menulis serta kemahiran berfikir.
b) Teknik Sumbangsaran
Teknik lain yang boleh digunakan dalam pengajaran tatabahasa ini ialah teknik sumbangsaran. Teknik ini juga dikenali sebagai percambahan fikiran yang merupakan satu sesi perbincangan yang melibatkan antara guru dengan murid-murid dalam menyumbangkan pendapat mahupun idea. Melalui teknik ini, guru boleh menggunakan kad yang tertulis imbuhan me-, mem-, men- dan kata kerja seperti kata ‘tulis’ misalnya dalam salah satu kad yang dibuat oleh guru. Kemudian guru meminta murid-murid untuk membina ayat berdasarkan perkataan yang tertulis pada kad tersebut di papan hitam. Dalam situasi ini, guru dapat mengenal pasti kesilapan murid-murid dalam menggunakan imbuhan me-, mem-, men- ketika membina ayat.
Teknik sumbangsaran mengandungi beberapa tujuan iaitu topik perbincangan haruslah bersesuaian dengan kebolehan dan minat murid-murid. Guru juga perlu menggunakan garis panduan yang ringkas dan jelas. Semua idea dan cadangan yang dikemukakan haruslah dicatat untuk dibincangkan dalam sesi umum. Setiap murid diberi peluang untuk mengemukakan cadangan dan menyumbang seberapa banyak idea dalam membina ayat-ayat yang menggunakan imbuhan me-, mem-, men-. Namun begitu, guru harus memastikan peruntukan masa untuk sesi sumbangsaran adalah berpatutan dan mencukupi. Cadangan dan idea yang diberikan tidak boleh dikritik tetapi guru boleh membetulkan kesilapan murid-murid dalam pembinaan ayat yang menggunakan imbuhan me-, mem-, men- .
c) Teknik Soal Jawab
Malahan, teknik soal jawab juga boleh digunakan dalam proses pengajaran tatabahasa. Teknik ini merupakan teknik paling lama dan paling popular digunakan dalam bidang pendidikan. Pemilihan teknik ini bukanlah mudah untuk dilaksanakan, tetapi ia adalah bentuk yang berupaya mewujudkan interaksi guru dengan murid-murid secara berkesan. Teknik ini dilaksanakan dengan cara guru mengemukakan soalan-soalan yang berkaitan dengan isi pelajaran dan murid-murid dikehendaki memberi tindak balas yang sewajarnya.
Sebelum itu, guru perlu menerangkan tentang isi pelajaran terlebih dahulu sebelum mengemukakan soalan-soalan yang berkaitan dengan isi pelajaran. Sebagai contohnya, guru perlu menerangkan isi pelajaran seperti penggunaan imbuhan me-, mem-, men- dengan kata dasar sebagai kata kerja dengan lebih terperinci supaya murid-murid dapat memahami segala yang diterangkan oleh guru. Setelah itu, barulah guru mengemukakan soalan-soalan yang berkaitan dengan isi pelajaran tersebut kepada murid-murid. Setelah itu, guru dapat mengetahui sama ada proses pengajaran dan pembelajaran tersebut berkesan atau tidak dalam situasi bilik darjah itu. Tambahan pula, guru dapat memperbaiki kelemahan yang ada pada masa akan datang.
Tujuan teknik tersebut adalah untuk mengesan pengetahuan berbahasa dalam kalangan murid-murid, menggalakkan murid-murid berfikir secara kreatif, inovatif, logik dan kreatif serta untuk mendorong murid-murid menyusun dan menghuraikan bahan-bahan yang diajar oleh guru. Lantaran itu, guru haruslah menyediakan soalan yang terancang dan bermutu sesuai dengan tahap kognitif para pelajar agar dapat membantu menajamkan pemikiran pelajar di samping dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih berkesan.
d) Teknik Latih Tubi
Malahan, teknik latih tubi juga boleh diguna pakai dalam pengajaran tatabahasa. Teknik ini sering digunakan dalam kaedah yang berasaskan pendekatan induktif iaitu kaedah terus, elektrik, fonetik dan audio-lingual. Latih tubi merupakan proses latihan struktur bahasa yang bertujuan untuk membentuk kelaziman yang betul bagi menggunakan struktur-struktur bahasa yang dianggap menjadi masalah kepada murid-murid. Teknik ini juga boleh digunakan untuk mencapai suatu kemahiran seperti kemahiran menyebut perkataan, ayat-ayat atau mengingat fakta-fakta penting. Melalui teknik ini, murid-murid akan mengalami proses mendengar, melihat dan memikirkan maksud-maksud perkataan serta tugasnya dalam situasi yang menggunakan perkataan tersebut.
Mengikut teknik ini, perhatian akan diberikan kepada lima aspek kebolehan menggunakan bahasa iaitu pertama ialah sebutan. Guru meminta murid-murid menyebut patah-patah perkataan atau suku kata dengan betul termasuk intonasi yang membawa makna dalam sesuatu situasi. Aspek yang kedua ialah tatabahasa. Penggunaan bahasa yang tepat sangat dititikberatkan mengikut hukum-hukum bahasa daripada semua aspek. Aspek yang ketiga ialah perbendaharaan kata. Guru berhara murid-murid dapat memperluas perbendaharaan kata dengan menggunakan imbuhan me-, mem-, men- yang sesuai mengikut konteks dalam situasi tertentu. Keempat ialah kefasihan. Guru dikehendaki meminta murid-murid menggunakan perkataan dengan cara spontan tanpa memikirkan maksud perkataan tersebut. Aspek yang kelima ialah kefahaman. Guru akan memberikan murid-murid latihan supaya mereka dapat memahami soalan dan memberikan jawapan yang wajar. Latihan yang diberikan oleh guru merangkumi prospek penggunaan imbuhan dalam me-, mem-, men- dalam ayat.
e) Teknik Kloz
Guru boleh menggunakan teknik kloz iaitu salah satu latihan yang berbentuk mengisi tempat kosong. Teknik ini sekurang-kurangnya mampu meningkatkan kemahiran berfikir murid-murid dalam mengisi tempat kosong dengan menggunakan perkatan yang berimbuhan me-, mem-, dan men-. Ia juga merupakan suatu cara yang mudah untuk dipraktikan oleh pelajar tidak kira sama ada dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran ataupun di rumah sebagai suatu pengukuhan untuk meningkatkan kefahaman pelajar-pelajar.
f) Teknik Kuiz
Seterusnya, guru juga boleh menggunakan teknik kuiz dalam pengajaran tatabahasa. Mengikut catatan sejarah, teknik ini diperkenalkan pada tahun 1940, di England melalui Perbadanan Penyiaran British (B.B.C). Aktiviti kuiz ini bermula di negara ini setelah dimasukkan dalam sukatan pelajaran Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah Inggeris dan diikuti di sekolah-sekolah Melayu ketika itu. Walau bagaimanapun, teknik ini boleh diguna pakai atau diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran khususnya dalam pengajaran tatabahasa. Tujuan teknik ini ialah supaya guru dapat mengukuhkan pengajaran dan memantapkan kefahaman murid-murid mengenai topik-topik tertentu. Murid-murid juga boleh mengulangkaji sambil bergembira tanpa rasa sebarang tekanan semasa aktiviti pengajaran dan pembelajaran berjalan. Secara tidak langsung, pelajar dapat melupakan permasalahan mereka dengan mengemukakan soalan-soalan secara teka-teki. Lantaran itu, murid-murid dapat belajar teknik berfikir yang baru dan boleh diaplikasikan dalam pembelajaran mereka.
Teknik ini juga dapat membantu murid-murid memahami sistem bahasa Melayu terutama dari segi bentuk, makna dan penggunaan bahasa yang tepat. Terdapat dua bentuk pengajaran dan pembelajaran bahasa melalui teknik ini iaitu ia dijalankan secara spontan pada peringkat permulaan, perkembangan dan penutup. Hal ini bermakna, kuiz dapat dijadikan sebagai aktiviti rangsangan, penggayaan, pemulihan dan pengukuhan. Teknik ini juga merangkumi aktiviti pertandingan yang dilakukan dalam bilik darjah. Misalnya, guru menggunakan pendekatan pertandingan seperti peraduan teka silang kata. Guru perlu bijak menyesuaikan teknik tersebut selaras dengan objektif pengajaran tatabahasa terutamanya dalam pengajaran imbuhan me-, mem-, men- . Setiap klu yang diberikan mesti menggambarkan jawapan yang merangkumi perkataan berimbuhan sama ada me-, mem-, men- . Justeru, guru perlu membahagikan murid-murid kepada dua atau tiga kumpulan besar untuk melaksanakan teknik tersebut agar mencapai objektif pengajaran.
g) Teknik Permainan Bahasa
Di samping itu, teknik permainan bahasa juga boleh diaplikasikan dalam pengajaran tatabahasa. Teknik ini sering digunakan dalam kaedah komunikatif kerana aktiviti ini dianggap amat penting dalam membentuk kecekapan berinteraksi ataupun kecekapan berkomunikasi seseorang murid. Menerusi teknik ini, murid-murid dapat mempelajari bahasa selari dengan proses pembelajaran bahasa secara semulajadi. Walau bagaimanapun, untuk memastikan kejayaan teknik ini murid-murid perlu kreatif dalam penggunaan bahasa kerana mereka perlu menggunakan bahasa yang tepat dan berkesan apabila bercakap atau menulis supaya maksud yang hendak disampaikan boleh difahami. Penglibatan dalam permainan tersebut akan memberi peluang kepada murid-murid untuk memperoleh latihan intensif, pembelajaran bermakna dan sebagai alat dianogstik.
Kebanyakan aktiviti yang dijalankan akan menggunakan pelbagai kemahiran berbahasa murid-murid. Antaranya kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Kemahiran tersebut dapat melatih murid-murid untuk mengaktifkan kecekapan bahasa serta mengembangkan kebolehan mereka menerusi kemahiran tersebut. Hala tuju pengajaran ini dapat diinterpretasikan dengan jelas melalui objektif tersirat dalam permainan bahasa tersebut iaitu dapat merangsang interaksi verbal, menambah kefasihan dan keyakinan diri dalam kalangan murid-murid. Malahan, guru dapat menyediakan konteks pembelajaran dalam situasi yang berbeza untuk menarik minat murid-murid terhadap sesuatu topik yang ingin diajarkan. Teknik ini juga bertindak sebagai alat yang dapat mengikis rasa bosan dan sebagai alat pemulihan, pengukuhan serta penggayaan dalam pengajaran tatabahasa khususnya.
Antara contoh teknik permainan bahasa yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran tatabahasa ialah lakonan. Melalui konteks ini, guru perlu menyediakan beberapa patah kata berimbuhan me-, mem-, atau men- yang ditulis di atas kertas yang berasingan. Kemudian, kertas tersebut digulungkan dan diisi dalam sebuah kotak. Setelah itu, guru meminta seorang murid untuk mencabut undian lalu melakonkan perbuatan yang tertulis dalam kertas tersebut tanpa mengungkapkan perkataan itu. Sementara itu, murid-murid yang lain boleh meneka aksi yang dilakonkan oleh murid tersebut. Keadaan ini secara tidak langsung dapat melatih atau menyesuaikan murid-murid dengan penggunaan imbuhan me-, mem-, dan men-.
Kesimpulan
Kesimpulan yang dapat dibuat disini ialah apa yang kita dapat lihat daripada keterangan diatas ialah alomorf me-, mem-, men- merupakan suatu gugusan awalan me- yang dipecahkan kepada beberapa alomorf iaitu me-, mem-, men-, meng-, meny-, dan menge-. Awalan me- ini pula merupakan imbuhan yang termasuk dalam suatu golongan kata iaitu kata kerja.
Jika dibuat perbedaan antara Pendekatan Struktural dengan Pendekatan yang lain, Pendekatan Struktural lebih kepada analisis struktur fonologi, morfologi dan sintaksis. Berbanding dengan Pendekatan Tradisional yang lebih kepada dasar makna dan huraian yang lebih bersifat subjektif untuk menentukan hukum-hukum tatabahasa.
Secara realitinya, teknik-teknik yang dikemukakan di atas secara tidak langsung dapat menyediakan persekitaran baru dalam sistem pendidikan di negara kita yang lebih menarik dan efektif. Namun begitu, setiap teknik yang digunakan perlulah seiring dengan objektif pengajaran agar ia mencapai objektif secara maksimum dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

0 Pertanyaan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Perhubungan

Jika mempunyai sebarang soalan atau pertanyaan
bolehlah bertanya di sini
atau
hantarkan E-mail ke



Insyallah pertanyaan anda akan dilayan