Usaha

Usaha Tangga Kejayaan.

Ikhlas

Ikhlaskan diri dalam pembelajaran.

Tawakal

Berserah kepada Tuhan selepas berusaha.
 

Jom Ikut Cikgu

Jenis-Jenis Pendahuluan karangan penulisan Bahasa Melayu


JENIS-JENIS PENDAHULUAN

1.      Pendahuluan Jenis Definisi
2.      Pendahuluan Jenis Pendapat
3.      Pendahuluan Jenis Suasana
4.      Pendahuluan Jenis Persoalan
5.      Pendahuluan Jenis Peribahasa
6.      Pendahuluan Jenis Sejarah


Tajuk : Isu Penderaan
 (Pendahuluan Jenis Definisi)
Dera bermaksud pukulan dengan rotan, tali pinggang, atau alat-alat lain sebagai hukuman. Mendera bermaksud memukul dengan menggunakan alat-alat yang dinyatakan tadi. Penderaan pula bermaksud melakukan perbuatan mendera. Sebenarnya, penderaan terbahagi kepada dua jenis, iaitu penderaan berbentuk fizikal dan penderaan berbentuk mental. Berdasarkan kajian, banyak terdapat punca yang menyebabkan perbuatan ini berlaku terutamanya kepada kanak-kanak.

Tajuk : Kepentingan Bahasa Inggeris
( Pendahuluan Jenis Pendapat)
Tun Dr. Mahathir pernah menyatakan bahawakita tidak akan mencapai kemajuan yang cepat jika kita tidak menumpukan perhatian dalam penguasaan bahasa Inggeris. Beliau berkata bahawa kebanyakan ilmu yang terdapat dalam dunia ini terungkap dalam bahasa Inggeris. Oleh itu, kita mestilah memberikan penekanan terhadap penggunaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan kita. menurut beliau, bahasa Inggeris banyak kepentingan atau kebaikannya, sama ada kepada rakyat mahupun negara.

Tajuk : Gambaran Tentang Kemalangan Ngeri Rumah Tertimbus
( Pendahuluan Jenis Suasana)
Apabila saya sampai di tempat kejadian itu, saya terdengar jeritan manusia dari celah-celah rekahan batu. Selain itu, tangisan bayi dan kanak-kanak jelas kedengaran dari sebuah bilik yang berdekatan dengan runtuhan batu tersebut. Pada ketika itu, pasukan penyelamat masih belum tiba lagi. Saya menjadi gelabah kerana buntu untuk melakukan sesuatu tindakan. Namun begitu saya menggagahkan semangat dan mencuba untuk melakukan sesuatu supaya mangsa yang berada di bawah runtuhan batu itu dapat diselamatkan.

Tajuk : Isu Kemalangan Jalan Raya
( Pendahuluan Jenis Persoalan)
Tahukah anda bahawa hampir setiap hari ada-ada sahaja kemalangan jalan raya yang dilaporkan di media massa? Hal ini amat membimbangkan terutamanya menjelang musim perayaan. Siapakah yang patut dipersalahkan, pengguna jalan raya atau pihak kerajaan? Persoalannya, apakah faktor-faktor yang menyebabkan kemalangan ini berlaku?

Tajuk :Rencana "Perpaduan Asas Kemajuan"
(Pendahuluan Jenis Peribahasa)
Masyarakat Malaysia khususnya orang Melayu kaya dengan peribahasa yang meliputi semua aspek kehidupan. Antara peribahasa yang menekankanaspek kerjasama dan perpaduan termasuklah "Ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni", "Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah", "Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing", "Bagai aur dengan tebing", dan Ibarat Telur sesangkar, pecah sebiji pecah semua". Semua peribahasa yang dinyatakan itu sebenarnya membawa konsep kerjasama dan perpaduan yang utuh antara ahli dalam masyarakat. Konsep ini perlu diamalkan sepanjang masa kerana perpaduan asas kemajuan sesebuah negara.

Tajuk: Kemerosotan Sukan Bola Sepak
( Pendahuluan Jenis Sejarah)
Pada tahun 1972, pasukan bola sepak negara kita telah berjaya melayakkan diri dalam pertandingan bola sepak sukan Olimpik di Munich, Jerman. Kejayaan ini diulang pada tahun 1980 apabila pasukan kita layak menyertai sukan Olimpik di Moscow, Rusia. Pada akhir tahun 1970-an, dan awal tahun 1980-an pula, keupayaan pasukan bola sepak negara kita setanding dengan keupayaan pasukan bola sepak Korea Selatan. Namun demikian, apakah punca-punca yang menyebabkan mutu sukan bola sepak negara kita sekarang ini begitu jauh merosot atau ketinggalan berbanding dengan negara-negara lain?

0 Pertanyaan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Perhubungan

Jika mempunyai sebarang soalan atau pertanyaan
bolehlah bertanya di sini
atau
hantarkan E-mail ke



Insyallah pertanyaan anda akan dilayan