Usaha

Usaha Tangga Kejayaan.

Ikhlas

Ikhlaskan diri dalam pembelajaran.

Tawakal

Berserah kepada Tuhan selepas berusaha.
 

Jom Ikut Cikgu

Refleksif, Benefaktif, Kausatif & Lokatif

 Refleksif, Benefaktif, Kausatif & Lokatif
 
Dalam tatabahasa bahasa Melayu terdapat beberapa banyak istilah khusus yang dikaitkan dengan makna sesuatu kata terbitan. Istilah tersebut bertujuan bagi menggambarkan konsep atau makna yang terkandung dalam kata tersebut.

Kebanyakan istilah ini diserap daripada kata bahasa Inggeris yang diMelayukan ejaannya, yakni diubahsuaikan ejaannya secara minimum daripada ejaan bentuk asalnya. Antara istilah tersebut termasuklah istilah refleksif, benefaktif, lokatif, dan kausatif. Kesemua istilah yang tersebut itu berkait rapat dengan kata kerja, iaitu salah satu golongan kata utama bahasa Melayu.

Refleksif (reflexive) ialah makna tatabahasa yang dikaitkan dengan imbuhan dalam sebarang ayat bagi menandakan perbuatan yang melibatkan diri sendiri, ataupun perbuatan yang mengenai diri sendiri. Dengan bahasa yang mudah hasil kerja atau akibat kerja yang dilakukan oleh seseorang pembuat akan mengenai dirinya sendiri, tidak mengenai orang atau benda lain. Contohnya; bercukur, berhias, berjemur, berbedak, berdandan, bersandar, bersembunyi, dan lain-lain sebagainya.

Jika kita mengatakan “Abang sedang bercukur, dan kakak masih berhias”, maksudnya abang melakukan perbuatan bercukur; maka yang kena cukur ialah (misai) abang. Demikian pula kakak kena oleh perbuatan hias yang dilakukan olehnya sendiri. Kedua-dua kata kerja bercukur dan berhias ialah kata kerja tak transitif berawalan ber- , yang menunjukkan hasil perbuatan yang mengenai diri sendiri.

Kausatif mendukung maksud makna tatabahasa yang dikaitkan dengan imbuhan dalam ayat. Kaitan ini bagi tujuan menandakan perbuatan yang menyebabkan sesuatu keadaan atau kejadian yang berlaku. Imbuhan yang dimaksudkan ialah akhiran -kan dan -i, apitan me-...-kan dan me-...-i . Contohnya:
1. Raju menghadiahkan sehelai kain sari kepada Kamaladevi.
2. Raju menghadiahi Kamaladevi sehelai kain sari.
3. Akan saya baiki kerosakan ini.
4. Sambungkan tali ini.

Ayat 1 dan 2 ialah ayat penyata yang mengandungi kata kerja transitif menghadiahkan dan menghadiahi. Ayat 3 pula ialah ayat pasif pelaku pertama yang mengandungi kata kerja pasif berimbuhan akhiran -i, sementara ayat 4 merupakan ayat arahan yang mengandungi kata kerja transitif berakhiran -kan .

Kesemua ayat 1 – 4 tersebut mendukung makna kausatif, kerana wujudnya keadaan suatu pihak melakukan sesuatu perbuatan. Dalam ayat 1 dan 2, Raju melakukan perbuatan (menghadiahkan), dan wujud juga perbuatan penerimaan oleh Kamaladevi. Maksud yang dibawa keadaan ini ditandai oleh imbuhan me-...-kan , dan me-...-i .

Ayat 3 dan 4 mempunyai kata kerja kata baiki dan sambungkan. Akhiran -i dan -kan pada kata kerja transitif itu menunjukkan maksud kausatif. Maksud tersebut digambarkan oleh fungsi akhiran -i dan kan- .

Maksud benefaktif atau manfaat ditandai oleh imbuhan -kan , me-...-kan dan me-...-i. Pengertian manfaat merujuk sesuatu perbuatan yang dilaksanakan untuk faedah pihak lain, bukan pihak yang melakukan perbuatan itu. Contohnya:
5. Abang membelikan adik kasut roda.
6. Adik membacakan ayahnya surat.
7. Gorengkan ikan ini untuk suamimu.

Ayat 5 menyatakan bahawa abang melakukan perbuatan (membeli) untuk faedah adiknya. Adik, dalam ayat 6, melakukan perbuatan (membacakan) surat untuk faedah atau manfaat ayahnya. Dalam ayat perintah 7, seseorang melaksanakan perbuatan (menggoreng) untuk manfaat atau faedah suaminya. Begitu pula dengan maksud imbuhan dalam kata membacakan dan gorengkan.


Istilah lokatif bermaksud makna tatabahasa yang berkaitan dengan imbuhan dalam ayat yang menandakan tempat berlakunya sesuatu perbuatan. Imbuhan yang mendukung maksud ini ialah meN- ...-i atau akhiran -...i . Misalnya dalam ayat:
8. Kami menaiki bas setiap hari.
9. Ali menghampiri lembaga itu.
10. Hendaklah kami dampingi orang yang berilmu.

Secara perbandingan, apitan me-...-kan dan me-...-i , mempunyai persamaan dan perbezaan maksud. Yang ketara ialah kedua-duanya membentuk kata kerja transitif dengan maksud kausatif. Kelainannya pula bahawa “me-...-i” memberi pengertian lokatif, iaitu menyatakan unsur tempat; manakala akhiran -kan mengandungi unsur benefaktif.

Demikian maksud beberapa istilah yang dikaitkan fungsinya dengan kata kerja terbitan berimbuhan.

0 Pertanyaan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Perhubungan

Jika mempunyai sebarang soalan atau pertanyaan
bolehlah bertanya di sini
atau
hantarkan E-mail ke



Insyallah pertanyaan anda akan dilayan