Usaha

Usaha Tangga Kejayaan.

Ikhlas

Ikhlaskan diri dalam pembelajaran.

Tawakal

Berserah kepada Tuhan selepas berusaha.
 

Nak Belajar Apa? Cari Di Sini.

Jika anda menggunakan bahan saya. ambil dengan baik dan ucapkanlah terima kasih.

Terima kasih!

Kaedah penyesuaian bahan bantu mengajar – buku teks #4

14/09/10


 
Penggunaan Bahan-Bahan Pengajaran
Aspek-aspek lain yang perlu difikirkan ialah cara bahan itu disampaikan kepada para pelajar. Adakah bahan-bahan itu guru sahaja yang menggunakannya? Bagaimanakah tindak balas pelajar terhadap bahan tersebut? Adakah bahan itu bermanfaat kepada semua pelajar? Dan adakah amanat atau pengetahuan yang hendak disampaikan melalui bahan itu jelas, dan secara keseluruhannya dapat memenuhi objektif pengajaran? Untuk mencapai satu tahap penggunaan bahan yang berkesan, beberapa soalan harus dapat dijawab oleh para guru.
a)    Adakah bahan-bahan pengajaran yang digunakan itu dapat memenuhi keperluan pancaindera para pelajar?
Semua bahan pengajaran sama ada yang digunakan oleh guru atau yang digunakan oleh pelajar mestilah mempunyai sifat-sifat yang dapat memenuhi keperluan pancaindera para pelajar. Dari segi visual umpamanya, bahan-bahan itu harus mempunyai format dan susunan yang sesuai, jelas dan kemas. Begitu juga dengan bentuk huruf, ilustrasi dan penjilidannya.bagi bahan-bahan yang dirakamkan, ianya perlulah dapat didengar dengan jelas, mudah difahami, ringkas dan padat. Biasanya, bahan-bahan yang dirancang mengikut keperluan pencaindera para pelajar akan lebih berkesan dan berfaedah.

Kaedah penyesuaian bahan bantu mengajar – buku teks #3

12/09/10

 

Pengajaran Bahan-Bahan Pembelajaran
Pengolahan bahan-bahan pengajaran bermaksud membuat adaptasi atau menyesuaikan semula bahan-bahan pengajaran itu dengan membetulkan segala kesilapan yang terdapat di dalamnya, memperjelaskan aspek-aspek yang kurang dapat difahami, menambah aspek-aspek yang kurang ditekankan dan membuang aspek-aspek yang tidak penting dan yang tidak berkaitan. Semua ini bertujuan menjadikan bahan-bahan tersebut lebih sempurna sifatnya dan sesuai serta bertepatan dengan keperluan pelajar dan pengajaran yang direncanakan.
            Dalam penyesuaian bahan-bahan bahasa, guru perlu memastikan bahawa butir-butir dalam kandungan bahasa itu mengandungi unsur-unsur bahasa dan penerangan bahasa yang selari dengan kehendak kriteria-kriteria yang telah ditetapkan oleh Sukatan Pelajaran Bahasa Malaysia. Disamping itu, guru hendaklah juga memastikan bahawa aktiviti-aktiviti bahasa yang terdapat dalam bahan-bahan tersebut dapat membantu murid-murid membentuk kecekapan bahasa dan kecekapan berbahasa mereka. Semasa menyesuaikan semula bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran, perkara-perkara berikut hendaklah diberi perhatian.
a)    Inspirasi dan kreativiti
Aspek ini hendaklah ditekankan oleh guru supaya bahan-bahan yang disediakan menggalakkan daya cipta dan kreativiti para elajar. Ini bermakna, daripada bahan-bahan itu, mereka dapat memanjangkan pandangan dan pendapat mereka, mendapatkan inspirasi mencipta idea-idea baru dan sebagainya.

Kaedah penyesuaian bahan bantu mengajar – buku teks #2

10/09/10

 

Proses Pembinaan Dan Penggunaan Bahan-Bahan Pengajaran. 

Bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran kadangkala dianggap sebagai media pengajaran atau ‘ media’ yang boleh membantu guru dan membolehkan para pelajar mendapatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran serta membentuk sikap yang baik. Proses penilaian dan pemilihan bahan-bahan yang diperlukan untuk memenuhi hasrat ini bukanlah satu kerja yang mudah. Kerja ini melibatkan kerja-kerja penyuntingan bahan supaya ianya sesuai dengan objektif pengajaran yang seharusnya selaras dengan kehendak dan matlamat Sukatan Pelajaran dan Objektif Pendidikan Negara secara keseluruhannya.

Untuk menyediakan bahan-bahan yang sesuai dalam sesuatu situasi pengajaran dan pembelajaran itu, guru hendaklah memproses bahan-bahan tersebut sebelum ianya digunakan. Beberapa langkah boleh digunakan, umpamanya proses memilih, mengolah, membina, menggunakan dan menilai. Proses ini merupakan satu proses yang berterusan dan ianya harus dilakukan berdasarkan kriteria pemilihan bahan yang telah ditetapkan. Proses penyedian bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran itu, secara ringkas


Pemilihan Bahan-Bahan Pengajaran


Pemilihan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran bahasa, sama ada bahan-bahan itu bahan-bahan teks atau sumber-sumber lain, yang dilihat daripada tiga perspektif:

Kaedah penyesuaian bahan bantu mengajar – buku teks #1

8/09/10


Pendahuluan
Kanak-kanak sejak dilahirkan telah mewarisi asas-asas kecerdasan. Kecerdasan ini membolehkan mereka belajar dan menyesuaikan diri dengan alam sekeliling mereka. Asas-asas kecerdasan ini perlu diperkaya dengan alam sekeliling yang baik supaya ianya dapat berkembang dengan sebaik-baiknya. Biasanya, asas kecerdasan yang tinggi , jika dipengaruhi oleh alam sekeliling yang tidak memuaskan, maka sukar bagi kita untuk melahirkan perkembangan kecerdasan yang mencapai peringkat optimum. Walaupun kanak-kanak sewaktu lahirnya itu tidak mempunyai pengalaman tetapi semenjak saat  tersebut mereka sentiasa diserbui oleh pelbagai rangsangan daripada alam sekeliling mereka. Dengan asas-asas yang diwarisinya inilah dan dengan pertolongan pancaindera, mereka mula menganggap dan memproses rangsangan-rangsangan itu ke dalam sistem yang bermakna.
            Pembelajaran memerlukan rangsangan dan kecerdasan pemikiran. Rangsangan yang diterima daripada alam sekeliling menjadi bahan untuk diproses oleh kecerdasan dan yang kemudiannya akan lahir sebagai pengetahuan dan pengalaman. Sungguhpun rangsangan dalam alam sekeliling ini amat banyak tetapi tidak semua rangsangan itu dapat diterima atau ditanggapi oleh manusia. Rangsangan yang sukar ditanggap tidak akan dapat diproses dan tidak akan menjadi pengalaman. Oleh yang demikian, kecerdasan walau bagaimana baik pun ia, jika kurang mendapat rangsangan, ianya tidak akan menghasilkan perkembangan kecerdasan dan pengalaman yang berkesan.
            Berdasarkan hakikat inilah, peranan guru dalam menentukan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran sangat penting. Ini adalah kerana bahan-bahan itu merupakan media yang mampu mewujudkan rangsangan dan yang kemudiannya akan bertindak memperkembang kecerdasan dan pengalaman. Guru-guru disarankan supaya dapat menyusun dan merancang aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran mereka dengan baik, terutamanya dari segi pemilihan, penyesuaian dan penggunaan bahan-bahan pengajaran, kerana inilah di antara aspek yang memberi kesan terhadap prestasi para pelajar.

MODEL SCHRAMM (PENAFSIRAN MAKNA) DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN.

8/08/10


Bagi mengaplikasikan model ini dalam pengajaran dan pembelajaran, kita perlu memahami bahawa maklum balas daripada penerimaan maklumat itu penting bagi memastikan proses komunikasi itu berkesan atau pun tidak. Justeru, maklum balas atau tindak balas pelajar terhadap maklumat yang telah disampaikan perlu untuk dititik beratkan dalam menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Lantaran menyedari hakikat ini, terdapat beberapa teknik yang boleh digunakan oleh guru sepanjang proses pengajaran berlangsung yang akan memperlihatkan wujudnya interaksi dan komunikasi dua hala iaitu guru dan pelajar masing-masing boleh mengambil peranan sebagai penyampai maklumat dan bukan sekadar menjadi penerima sahaja.

PENGGUNAAN MODEL SCHRAMM (LAPANGAN PENGALAMAN) DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN


Bagi memastikan maklumat atau ilmu yang ingin disampaikan kepada para pelajar berjaya diterima dengan berkesan, maka guru-guru hendaklah memikirkan tentang beberapa aspek penting yang mempunyai perkaitan secara langsung dengan pengalaman atau ilmu yang telah dimiliki oleh pelajar antaranya termasuklah pengalaman lepas, ilmu yang dimiliki, tahap penguasaan bahasa, perkembangan umur, latar belakang pelajar dan sebagainya. Hal ini berlaku kerana, Model Komunikasi Schramm memberi penekanan penting terhadap peranan pengalaman dalam proses komunikasi yang dilakukan kerana pengalaman yang berbeza di antara penyampai maklumat iaitu guru dan penerima maklumat iaitu pelajar berbeza dan mengganggu proses interpretasi maklumat yang diterima. Perbezaan ini secara tidak langsung menyebabkan maklumat yang cuba disampaikan oleh penyampai maklumat itu gagal diinterpretasikan seperti mana yang diinginkan oleh guru.

MODEL KOMUNIKASI

MODEL KOMUNIKASI
Sepertimana yang telah diketahui dan difahami terdapat enam unsur utama yang memainkan peranan penting dalam proses komunikasi iaitu sumber, maklumat atau mesej, saluran, penerima maklumat, maklum balas terhadap maklumat yang disampaikan dan juga gangguan terhadap maklumat yang disampaikan. Komunikasi yang berjaya dan berkesan dapat dilakukan apabila maklumat yang disampaikan oleh sumber dan penerimaan maklumat oleh penerima berjaya difahami sepertimana yang diinginkan oleh penyampai tanpa mengambil kira medium apa yang digunakan untuk memastikan maklumat dan idea itu berjaya disampaikan. Sekiranya tahap kefahaman yang tinggi diperoleh daripada proses komunikasi maka model yang digunakan akan membantu para pengamal untuk mengaplikasikannya.

KEPENTINGAN KOMUNIKASI


Kemahiran komunikasi merupakan satu aktiviti yang sangat penting kerana komunikasi adalah kehidupan yang diperlukan oleh manusia dari saat dilahirkan hinggalah di saat kematian yang bertujuan untuk menyedarkan orang lain tentang kewujudan kita. Menurut Harrel seseorang yang mempunyai keupayaan yang tinggi dalam berkomunikasi mempunyai kemungkinan yang tinggi untuk berjaya dalam kerjayanya berbanding mereka yang tidak menguasai ilmu komunikasi.

Satu Model Ringkas Proses Komunikasi

Satu Model Ringkas Proses Komunikasi
Mewujudkan Idea

Mewujudkan Idea

Apakah yang ingin disampaikan ?
Membuat Enkod
Membuat Enkod Menukarkan idea atau apa yang ingin disampaikan
ke dalam bentuk perkataan, carta atau simbol yang sesuai
Menyampaikan mesej

Menyampaikan mesej

Memilih saluran mesej.

Menerima

Menerima

Penerima akan menerima mesej yang disampaikan.

Dekod

PROSES KOMUNIKASI


Secara ringkas, proses komunikasi dapat digambarkan seperti berikut.
1 Penyampai maklumat yang berkomunikasi dengan orang lain menyampaikan suatu maklumat kepada orang yang dimaksudkan. Maklumat yang disampaikan itu biasanya disampaikan dalam bentuk bahasa ataupun simbol-simbol yang difahami oleh kedua-dua belah pihak.
2 Maklumat (Message) itu disampaikan atau dibawa melalui suatu media atau saluran baik secara langsung maupun tidak langsung. Penerima (receiver) akan menerima maklumat yang disampaikan dan menerjemahkan isi maklumat yang diterimanya itu ke dalam bahasa yang difahami oleh kedua pihak.
3. Penerima (receiver) perlu memberikan tindak balas (feedback) atau tanggapan atas maklumat yang dikirimkan kepadanya, bagi memastikan sama ada proses penyampaian maklumat itu berkesan atau tidak.

KOMPONEN KOMUNIKASI


Komponen komunikasi merupakan perkara asas dan penting bagi memastikan proses dan aktiviti komunikasi berlangsung dengan berkesan. Komponen-komponen tersebut antara lain sebagai berikut.
  • Pengirim / penyampai maklumat (sender) adalah pihak yang menyampaikan maklumat dan idea kepada orang lain.
  • Penerima maklumat (receiver) adalah pihak yang menerimamaklumat dan idea dari pihak lain.
  • Maklumat atau idea (message) adalah isi atau maksud yang akan disampaikan oleh satu pihak kepada pihak lain.
  • Tindak balas (feedback) adalah tanggapan dari penerimaan maklumat yang disampaikannya.

Komunikasi

QAMARUL ARIFIN BIN ABDULLAH

APA ITU KOMUNIKASI
Terdapat pelbagai tafsiran dan andaian mengenai definisi dan interpretasi kepada aktiviti komunikasi. Secara ringkasnya, komunikasi ialah proses pertukaran maklumat melalui pemahaman yang sama di antara dua atau lebih pihak yang terlibat. Berdasarkan definisi ringkas tersebut, dapatlah dirangkumkan bahawa komunikasi adalah proses penyampaian maklumat dan idea dari satu pihak kepada pihak lain melalui keadaan saling mempengaruhi antara kedua-dua pihak. Pada umumnya, aktiviti komunikasi dilakukan dengan secara lisan yang dapat difahami oleh penyampai juga penerima maklumat. Apabila tidak ada bahasa verbal yang dapat difahami, proses komunikasi masih dapat dilakukan dengan menggunakan gerakan bahasa tubuh, misalnya tersenyum, menggelengkan kepala, mengangkat bahu. Cara seperti ini disebut komunikasi dengan bahasa nonverbal atau bahasa isyarat.
Manusia berkomunikasi untuk mendapatkan pengetahuan dan pengalaman. Bentuk umum komunikasi manusia termasuk bahasa tubuh, bicara, tulisan, gesture, dan broadcasting dan ia boleh dibahagikan kepada komunikasi interaktif, transaktif, bertujuan, atau tak bertujuan. Melalui komunikasi, sikap dan perasaan seseorang atau sekelompok orang dapat difahami oleh pihak lain akan tetapi, komunikasi hanya akan efektif apabila maklumat dan idea yang ingin disampaikan dapat ditafsirkan dan difahami seperti mana yang ingin disampaikan oleh penyampai maklumat oleh penerima maklumat tersebut.
Menurut French (1993) komunikasi merupakan proses minda yang berlaku dalam usaha mewujudkan kondisi dan situasi saling memahami terhadap maklumat dan idea yang disampaikan. Komunikasi yang berkesan berlaku apabila mesej yang hendak disampaikan kepada penerima itu berjaya disampaikan dan difahami sepertimana yang dikhendaki. Oleh yang demikian, prestasi dan kualiti kehidupan seharian kita ditentukan melalui kualiti kemahiran kita berkomunikasi.

Teka-teki

Teka-teki
Oleh: Qamarul Arifin Abdullah
Berbeza dengan puisi-puisi yang lain, teka-teki merupakan puisi lisan yang popular. teka-teki dalam sastera tradisional terbahagi kepada dua bentuk utama iaitu prosa dan puisi. teka-teki yang tergolong dalam bentuk puisi mungkin ditemui dalam bentuk syair dan antun atau dalam ungkapan-ungkapan puitis yang lebih bebas seperti talibun, sesomba atau gurindam.
Sejenis puisi yang tidak terikat; terdiri daripada sebaris atau beberapa baris yang berturutan, sama ada berangkap atau tidak. Jika berangkap, tidak tentu jumlah baris serangkap, jumlah perkataan sebaris, mempunyai rima atau tidak. Tiap-tiap baris atau serangkap dapat menyatakan satu keseluruhan idea.
Secara umumnya, teka-teki berfungsi sebagai bahan hiburan dan pengisi masa lapang bersama keluarga atau sahabat handai. Kadang-kala teka-teki membawa nada jenaka, ada juga yang menguji kecerdikan dan akal fikiran, malahan dapat meningkatkan daya kreativiti kanak-kanak juga orang dewasa.
Sesuai dengan fungsinya, teka-teki membawa pelbagai tema. Bagaimanapun, penumpuan lebih kepada benda-benda yang paling hampir dengan kehidupan manusia sehari-hari dan alam sekeliling. Pencita teka-teki adalah seorang pemerhati yang peka dan seniman yang aktif.
Dua buah antologi teka-teki yang terkenal ialah Teka-Teki yang diselenggara oleh O.T. Dessek(1918) dan Kitab Gemala Hikmat oleh Sulaiman bin Muhammad, Nur oleh Munsyi Sulaiman(1907) dan Teka-Teki Warisan oleh Inon Shaharuddin Abdul Rahman(1988).

Mantera

Mantera
Oleh: Qamarul Arifin Abdullah
Mantera dikenali sebagai jampi, tawar, sembur, cuca, uja, seru, dan tangkal. Genre ini merupakan antara puisi Melayu tradisional yang popular di kalangan masyarakat Melayu selain pantun dan syair, walaupun penggunaannya lebih eksklusif, kerana mentera hanya dipunyai dan dituturkan oleh orang tertentu sahaja seperti pawang dan bomoh. Apabila dituturkan, mantera dipercayai dapat menimbulkan kuasa ghaib atau konotasi magis untuk tujuan perubatan seperti untuk menyembuhkan penyakit (Harun Mat Piah, 1989).
Dari segi bentuk, mantera merupakan jenis puisi bebas yang tidak terikat sama ada dari segi rangkap, baris, dan jumlah perkataan dalam sebaris atau urutan rimanya. Dari segi penggunaan bahasanya, mantera digubah bahasa khusus dan sukar difahami oleh kebanyakan orang. Malahan, pawang atau bomoh sendiri pun, jika ditanya makna bahasa tersebut tidak dapat menerangkannya. Oleh itu, mantera sangat terbatas penggunaannya. Mantera juga tidak boleh dituturkan sewenang-wenangnya tanpa bersebab kerana bahasa mantera dianggap keramat dan tabu.
Mantera biasanya dicipta oleh pawang atau bomoh yang kemudiannya diturunkan kepada orang yang dipercayai dan orang yang akan menggantikan mereka dalam bidang perpawangan atau perbomohan. Pawang atau bomoh ini merupakan orang perantaraan antara manusia dan kuasa ghaib yang dipercayai dapat memberikan kesan kepada kehidupan masyarakat.
Mantera juga merupakan puisi yang diwarisi daripada zaman purba yang sangat bergantung hidup dengan unsur-unsur alam. Tetapi jika berdasarkan perkembangan tamadun sekarang, mantera mungkin tidak lagi dicipta; tidak seperti pantun dan syair yang masih terus dicipta dan digunakan dengan meluas. Walaupun mantera telah tercipta sejak zaman bahari lagi, namun dengan kedatangan Islam, pengaruh Islam telah diserapkan ke dalam bentuk mantera dengan menambah nama-nama atau istilah-istilah yang ada kaitannya dengan Islam.
Mantera dapat dibahagikan keada empat jenis berdasarkan tujuan mantera tersebut diucapkan iaitu perubatan, pakaian diri, pekerjaan dan adat istiadat.
Isi mantera biasanya mengandungi kata-kata puji-pujian yang mengandungi irama dan nada yang tertentu. Tujuan mantera ialah untuk menyembuhkan penyakit dan menghalau makhluk halus yang dipercayai mendiami sesuatu tempat atau yang mengganggu kehidupan seseorang dan masyarakat. Mantera juga dijadikan pemanis, pengasih dan pembenci. Terdapat juga penggunaan mantera dalam upacara-upacara seperti adat dan istiadat.
Mantera tidak boleh digunakan secara sembarangan, secara umumnya, mantera masih lagi menepati fungsi puisi iaitu sebagai alat pendidikan, alat pemantapan sesuatu sistem, nilai, dan norma masyarakat khalayaknya, gambaran sistem projeksi masyarakat termasuklah aspek keindahan dan alat pengesahan sesuatu institusi masyarakatnya.
Mantera untuk perubatan berfungsi untuk menyembuhkan penyakit, mantera pendinding berfungsi untuk melindungi khalayaknya daripada sebarang unsur jahat atau berfungsi untuk memberi keluarbiasaan dan keistimewaan kepada pengamal dan khalayaknya, mantera pekerjaan digunakan dalam pekerjaan supaya setiap usaha yang dilakukan dapat menghasilkan sesuatu yang lumayan, dan mentera adat istiadat pula digunakan dalam upaca-upacara adat dan istiadat. Perwarisan mantera haruslah melalui upacara-upacara yang tertentu sesuai dengan genre mantera itu sendiri sebagai puisi yang bercorak sakral dan penuh dengan pantang larang.

Peribahasa Berangkap

Peribahasa Berangkap
Oleh: Qamarul Arifin Abdullah
Peribahasa atau ungkapan tradisional yang mempunyai subgenre seperti bidalan, pepatah, perbilangan, perumpamaan, lidah pendeta, kias ibarat, dan tamsil tidak tergolong dalam genre puisi kerana strukturnya bukan merupakan ungkapan atau kata-kata yang berangkap. Namun, dalam pustaka puisi Melayu tradisional terdapat sejumlah besar peribahasa yang wujud dalam bentuk puisi. Oleh itu, Za’ba (1966), Mohd. Taib Osman (1979) menamakan puisi ini sebagai peribahasa berangkap atau peribahasa berirama.
Menurut Harun Mat Piah (1989), peribahasa berangkap ialah ungkapan peribahasa yang terdiri sekurang-kurangnya dua keratan yang sejajar, baik dalam sebaris atau lebih. Kemungkinan baris-baris itu tidak berhubungan dari segi rima tetapi terjalin dalam hubungan yang seimbang, iaitu sebagai pembanding atau pelengkap kepada yang lain.
Seperti puisi-puisi Melayu yang lain, peribahasa berangkap juga boleh dikenal pasti berdasarkan ciri-ciri yang terdapat ada aspek struktur, tema, isi, dan fungsinya.
Asas pembentukan peribahasa berangkap ialah peribahasa. Seperti bahasa lisan yang lain, peribahasa berangkap berfungsi sebagai alat komunikasi, sama ada secara formal (digunakan dalam adat istiadat tertentu) atau tidak formal (terutamanya untuk menyindir, menegur atau mengkritik seseorang) dan sebagai alat pendidikan atau didaktik. Selain itu ia berfungsi sebagai “pembebas tanggungjawab perseorangan terhadap suatu kekuasaan” (Alan Dundes, 1989). Maksud daripada kata-kata ini ialah jika mengkritik (terutamanya menunjukkan kesalahan atau mencela) seseorang dengan menggunakan peribahasa, individu sasaran akan lebih mudah menerima daripada dikritik atau dicela secara langsung.Oleh: Qamarul Arifin Abdullah
Fungsi yang seterusnya ialah sebagai alat kawalan sosial dan pemantapan sesuatu sistem sosial dalam masyarakatnya. Selain itu sebagai media yang mempamerkan kebijaksanaan penutur atau pewarisnya (juga melambangkan kebijaksanaan masyarakat khalayaknya). Pewarisnya yang terhad menyebabkan mereka dianggap sebagai golongan yang eksklusif dan istimewa. Semakin banyak mereka mewarisi puisi ini semakin tinggi sanjungan masyarakat khalayaknya dan dapat menggambarkan ketinggian status seseorang dalam masyarakatnya. Peribahasa berangkap terhadap dalam teromba. Teromba hanya dimiliki oleh indivividu yang memegang kunci adat seperti ketua adat atau ketua lembaga. Oleh itu penguasaan uisi ini sekali gus dapat menunjukkan ketinggian status seseorang dalam masyarakatnya.

Talibun

Talibun
Oleh: Qamarul Arifin Abdullah
Harun Mat Piah (1989), Ismail Hamid (1987) mendefinisikan talibun sebagai puisi berangkap tentang perincian sesuatu objek atau peristiwa, dan umumnya terdapat dalam genre lipur lara (cerita kaba) dalam kalangan masyarakat Minangkabau.
Mohd. Taib Osman (1979) mula menamakan talibun ini sebagai “ikatan puisi bebas”. Puisi ini menurut beliau merupakan puisi yang memakai kata-kata yang menimbulkan gambaran mata kerana kata-kata yang digunakan dapat menimbulkan pemikiran dan pendengaran tentang imej yang lantang dan bermakna. Baris-barisnya memberikan dua macam gambaran, iaitu gambaran bunyi seolah-olah kita mendengarnya, dan gambaran objek-objek dalam situasinya masing-masing. Kedua-dua gambaran ini berlatarbelakangkan alam Melayu.
Terdapat pelbagai tema talibun yang terungkap dalam cerita-cerita lipur lara Melayu yang didasarkan kepada fungsi puisi tersebut di dalam karya atau cerita tersebut iaitu memerikan kebesaran, kehebatan dan keagungan sesuatu tempat seperti ibu kota dan bandar, memerikan keadaan dan kesibukan atau keajaiban sesuatu peristiwa dan suasana, memerikan kehebatan dan kecantikan sesuatu objek seperti pakaian, manusia, sikap dan kelakuan manusia.
Selain tema, talibun juga boleh dikenal melalui penggunaan bahasa berulang yang menjadi lumrah dalam pembentukannya. Teknik pengulangan ini bukan sahaja wujud dalam penggunaan gaya bahasa tetapi pengulangan seluruh puisi tersebut. Wilkinsin menamakan puisi tersebut sebagai runs, yang merujuk kepada konsep pengulangan ini. Pengulangan ini ditambah pula dengan bentuk-bentuk pemerian yang lain sehingga terdapat pelbagai variasi dalam bentuk seperti engulangan di bahagian permulaan tetapi di bahagian akhir telah ditambah dengan ungkapan puisi yang lain.
Menurut Ismail Hamid (1987) pengulangan ini terjadi kerana talibun sangat mementingkan bahasa yang berirama yang menjadi kegemaran masyarakat terutamanya dalam kalangan masyarakat Minangkabau. Bahasa yang berirama ini digunakan secara meluas seperti berpidato atau semasa bergurau senda.
Fungsi utama dan khusus talibun ialah untuk memerikan secara terperinci tentang sesuatu gambaran seperti suasana, benda dan sifat manusia dalam bentuk yang ringkas, teliti dan menyeluruh. Umumnya, talibun merupakan gambaran pemikiran masyarakat khalayak yang mementingkan perincian tentang sesuatu, tetapi disusun dan dibentuk dengan keindahan terutamanya dalam penggunaan gaya bahasa.

Teromba

Teromba
Oleh: Qamarul Arifin Abdullah
Teromba merupakan susunan adat yang disampaikan dalam bentuk puisi. Puisi ini dikenali juga sebagai puisi adat. Teromba dikatakan berasal daripada masyarakat Melayu Minangkabau. Isinya mengandungi adat dan peraturan serta norma-norma hidup mesyarakat khususnya tentang undang-undang adat yang diamalkan dalam kehiduan sosial masyarakat yang melahirkan dan mengamalkannya.

Berdasarkan struktur visualnya, teromba tergolong sebagai puisi tidak terikat kepada perbilangan adat atau kata perbilangan. Teromba ini ada yang berangkap dan ada yang tidak. Jumlah perkataan dan suku katanya dalam sebaris tidak tentu. Demikian juga rima dan jedanya, juga tidak tentu. Teromba kadangkala menggunakan juga puisi Melayu tradisional yang lain seperti pantun, syair, rubai, talibun, dan ungkapan tradisional (peribahasa berangkap).

Secara ringkas teromba berfungsi memberi panduan dan pendidikan tentang cara hidup atau sistem hidup bermasyarakat yang baik dan harmoni melalui adat, peraturan dan undang-undang dibentuk, membentuk dan membina satu masyarakat yang harmoni, mengekal norma yang tertentu di dalam masyarakat yang telah dipersetujui oleh anggota masyarakat sejak turun-temurun. Selain itu teromba berfungsi sebagai alat kawalan sosial terutamanya dengan adanya adat, peraturan dan undang-undang tentang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan dalam hidup bermasyarakat, menggambarkan corak dan pola hidup bermasyarakat pada satu-satu masa dan zaman, menggambarkan corak pemikiran masyarakat yang mengamalkannya, kerana pembentukan teromba jelas berdasarkan kebijaksanaan dan pemikiran yang dalam dan tinggi tentang falsafah hidup masyarakatnya.


Seloka

Seloka
Oleh: Qamarul Arifin Abdullah
Dari segi istilah, seloka berasal daripada perkataan Sanskrit, seloka iaitu sejenis puisi yang terdiri daripada yang terdiri daripada dua baris atau dua kerat, yang setiap satunya mengandungi 16 suku kata, yang disusun dalam empat unit. Dalam kesusasteraan Melayu tradisional, seloka merupakan sejenis puisi bebas dari segi rangkap (sama ada berangkap atau tidak berangkap). Jika berangkap, tidak tentu barisnya dalam serangkap dan tidak tentu jumlah perkataan dalam sebaris. Seloka juga boleh jadi mempunyai rima atau tidak. Seloka biasanya memerlukan beberapa baris atau rangkap untuk melengkapkan keseluruhan idea (Harun Mat Piah, 1989).
Dari segi bentuk, seloka sama sahaja seperti puisi bebas yang lain seperti gurindam, talibun atau teromba. Walaupun begitu, jika dilihat aspek isi, puisi ini berbeza antara satu sama lain. Dari segi isi, seloka biasanya mengutarakan isinya secara mengejek, sindiran atau dalam nada jenaka, dan kadang-kadang mengandungi nada atau perasaan yang asyik dan berkhayal.
Oleh sebab seloka biasanya digunakan untuk menyindir atau berkias, tidaklah menghairankan mengapa seloka mengandungi banyak peribahasa yang selalunya disusun dengan cara yang senada atau mempunyai irama, sehingga kadang-kadang seloka sama dengan peribahasa berirama.
Dalam hal ini, pengenal kepada peribahasa berirama ialah nada yang dibawa olehnya. Peribahasa berirama tidak mengandungi nada-nada ejekan atau sindiran yang sinis tetapi seloka mengandungi ejekan dan nada-nada sinis; menyindir terhadap sesuatu kelakuan sesetengah anggota masyarakat melalui peribahasa yang disusun secara sejajar untuk menghasilkan irama tersebut. Secara keseluruhan, seuntai seloka merujuk keada cerita jenaka yang benar-benar dikenali dalam masyarakat seperti cerita Pak Kaduk, cerita Pak Pandir, cerita Labai Malang dan cerita Emak Si Randang. Seloka tersebut bertujuan untuk menyindir masyarakat yang berperangai seperti watak-watak tersebut.
Seloka biasanya mengandungi bahasa yang penceritaannya meleret-leret dan lanjut, sindir giatnya selalu tajam dan bisa seperti mengejek, menyindir dan menempelak, dan mengandungi perasaan yang hiba dan rawan.
Fungsi seloka amat terbatas. Secara umumnya, seloka dapat menggambarkan masyarakat yang melahirkannya iaitu masyarakat yang amat mementingkan keharmonian dan ketatasusilaan. Bersesuaian dengan sifat halus orang Melayu, puisi seloka digunakan untuk mengkritik sebarang perlakuan negatif anggota masyarakat tanpa menyinggung perasaan individu sasaran. Puisi seloka tidak digunakan secara meluas sebagaimana peribahasa atau teromba. Fungsinya amat bergantung kepada isinya iaitu untuk menyindir, mengejek, menempelak seseorang, melahirkan rasa benci terhadap sesuatu kelakuan manusia, memberi pengajaran dan panduan kepada seseorang dan sebagai alat kawalan sosial atau protes sosial.

Contoh seloka
Seloka Pak Kaduk
Seloka Mat Jenin
Seloka Mak Si Randang 
Seloka Si Luncai

Qit’ah

Qit’ah
Oleh: Qamarul Arifin Abdullah
Qit’ah mula diperkenalkan dalam bahasa Melayu melalui Tajus Salatin. Qit’ah bererti potongan, keratan atau sebahagian. Justeru, bentuknya ringkas; minimum dua baris dan tidak sampai sepuluh baris. Sungguhpun begitu, terdapat juga qit’ah yang ditulis dalam keadaan terkawal, yakni empat baris dalam satu rangkap.
Puisi qit’ah ini diletakkan dalam kategori sajak yang separuh terikat. Cirinya hampir seperti syair dari segi pola rimanya, namun kadang-kadang ada kelainan rima pada baris yang tertentu. Jumlah perkataan dalam satu-satu baris pula tidak ditentukan dan kadang-kadang tidak seimbang, iaitu ada yang panjang dan ada yang pendek.
Tema qit’ah bersifat pemikiran dan renungan yang selalu membawa mesej yang bersifat luhur dan berfikiran tinggi (falsafah). Sungguhpun begitu, makna qit’ah sukar ditafsirkan kerana qit’ah menggunakan banyak perkataan Arab secara langsung, dan tidak menterjemahkannya. Hal ini menyebabkan banyak orang tidak dapat memahami qit’ah lalu menyebabkan puisi itu kurang digemari. Fungsi qit’ah ialah untuk memberikan nasihat dan pengajaran, khususnya tentang pemikiran dalam agama.
Ehwal Insan
Jika kulihat dalam tanah itu pada ehwal segala yang insan,
Tiadalah dapat kubezakan,
Pada antara hamba dan sultan,
Fana juga segala yang ada,
Dengarkan olehmu Kulluman ‘alaihi fan.

Berzanji

Berzanji
Oleh: Qamarul Arifin Abdullah
Pada dasarnya, berzanji boleh didapati dalam bentuk iaitu berzanji nathar (bentuk prosa berirama) dan bentuk puisi. Sebagai puisi tumpang, berzanji menggunakan bentuk nazam dan syair yang dilagukan. Rima akhir sesuatu rangkap atau rawi dalam bacaan berzanji ini adalah a/a/a/a, sama ada dalam ejaan asalnya (jawi) mahupun dalam terjemahan bahasa Melayu. Berzanji bertemakan keagungan Allah dan puji-pujian terhadap Nabi Muhammad s.a.w.
Berzanji biasanya dilagukan untuk majlis-majlis seperti sambutan mauludur Rasul, majlis perkahwinan (ucapan untuk pasangan pengantin), majlis bercukur rambut dan majlis khatam al-Quran.

Ghazal

Ghazal
Ghazal bermaksud puisi bersifat cinta. Puisi yang berasal dari Parsi ini merupakan sejenis nyanyian dalam kalangan orang muda yang dalam percintaan. Sajak puisi ini terdapat pada kata yang di belakang.
Bagaimanapun, secara umumnya puisi ini berpolarimakan a/a, yang diulang-ulang. Perulangan juga secara a b, b c, c d dan seterusnya; baris-barisnya terdiri dariada ayat yang panjang-panjang. Perkataannya tidak disukat banyaknya, dan terdiri dariada 20 hingga 22 suku kata. Panjangnya dalam lingkungan belasan baris. Pada bahagian akhir, pengubahnya menyelitkan namanya sebagai peleraian (takhallus). Tema ghazal berkaitan dengan persoalan cinta, sama ada cinta sesama manusia ataupun cinta manusia terhadap Tuhan.
Pada umumnya, puisi ghazal berperanan sebagai alat komunikasi yang menyatakan cinta dan kasih sayang.

Masnawi

Masnawi
Oleh: Qamarul Arifin Abdullah
Masnawi identik dengan penyair terkenal Parsi, Jalaluddin al-Rumi (1207-1273 M), terutama dalam karya agungnya Mathnawi Ma’nawi. Sebagai puisi yang bersumberkan puisi Arab-Parsi, masnawi tidak popular dalam kalangan masyarakat Melayu, dan Oleh sebab itu, genre ini tidak berkembang.
Masnawi dalam bahasa Melayu diperkenalkan oleh Bukhari al-Jauhari menerusi karangannya Tajus Salatin. Puisi ini berbentuk bebas dari aspek baris, perkataan dan suku kata dalam sebaris. Walaupun begitu, terdapat pengawalan pada rima akhirnya seperti a/a, b/b, c/c, dan seterusnya. Genre puisi ini bertemakan puji-pujian tentang kehandalan, kekuatan, kepandaian, dan kemayhuran seseorang tokoh.
Secara keseluruhannya, masnawi berfungsi sebagai panduan, pengajaran, dan nasihat kepada khalayaknya. Contohnya:
Budi
Dengarlah olehmu, hai yang budiman,
Budi itulah sungguh pohon ahsan,
Kerana ahsan itu puri budilah,
Jika lain maka lain jadilah,
Orang yang berbudi itu kayalah,
Yang bukan berbudi itu papalah,
Jikalau kau dapat harta alam ini,
Dan budi kurang padamu di sini,
Bahawa ke sini jua namamu,
Dan segala ke sini pun adamu,
Jika kamu mahu menjadi kaya,
Mintalah budi bagimu cahayai,
Hai Tuhanku, Bukhari yang biasa,
Minta selamat budi sentiasa,
Sudah taju’ssalatin fi’lawhir,
Dan Bukhari dengan taju itu fakir,
Seribu syukur keada Tuhannya.
Sumber: Khalid M. Hussain(penye.), 1996. Karangan Bukhari al-Jauhari, Tajus Salatin, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Rubai

Rubai
Oleh: Qamarul Arifin Abdullah
Rubai berasal daripada sastera Parsi dan merupakan puisi tertua dalam bahasa tersebut. Apabila Parsi menerima Islam, puisi tersebut menjadi sebahagian daripada puisi warisan Islam. Tokoh yang identik dengan rubai ialah Omar Khayyam (1132). Puisi rubai diterjemah ke dalam bahasa Inggeris oleh Edward Fitzgerald (1809-1883) dan ini menjadikan rubai Omar Khayyam begitu terkenal. Rubai dalam bahasa Melayu pertama kali diperkenal oleh Bukhari al-Jauhari dalam teks Taj al-Salatin. Rubai karya Omar Khayyam pula telah diterjemah ke bahasa Melayu oleh tokoh bahasa dari Johor iaitu Mejar Dato’ Muhammad Said bin Haji sulaiman (1868-1955) berdasarkan versi Inggeris yang diterjemah oleh Edward Fitzgerald.
Dalam Kamus Umum Indonesia, rubai dikatakan sebagai puisi Arab empat baris. Ada sarjana mengatakan rubai berbentuk sajak yang terdiri daripada empat baris (a/a/a/a) yang selalunya bertujuan falsafah atau tasawuf serta membentuk epigram. Daripada segi cirinya, pola rima a/a/b/a atau a/a/a/a; jumlah barisnya terdiri daripada empat baris serangkap; menakala suku katanya ialah antara lapan hingga dua belas suku kata. Isinya dalam satu rangkap, dan temanya membawa persoalan yang bersifat falsafah, agama, nasihat dan sejarah.
Dalam puisi Melayu tradisional, pengisian dalam rubai selalunya bertemakan falsafah, persoalan tasawuf, agama, nasihat, dan sejarah. Puisi rubai bertujuan untuk panduan pendidikan. Contohnya:
Kemuliaan Insan
Peri permulaan keadaan insan,
Itulah ingatkan dirimu yang berirfan,
Supaya mengetahui perinya ini,
Dengan takdir lagi dengan ihsan.

Dikir/Zikir

Dikir/Zikir
Oleh: Qamarul Arifin Abdullah
Menurut Harun Mat Diah (1989), dikir berasal daripada perkataan Arab, zikir yang bermakna puji-pujian terhadap Allah s.w.t. dan rasul-Nya Nabi Muhammad s.a.w. Dalam perkembangan puisi Melayu tradisional, puisi dikir/zikir bermakna puisi puji-pujian. Dikir/zikir juga merupakan puisi yang mengandungi isi tentang unsur-unsur agama, sama ada tentang ibadat, puji-pujian, pengajaran atau tentang Nabi Muhammad s.a.w. dan ajaran-ajarannya.
Dari segi bentuk, dikir/zikir merupakan puisi bebas. Jumlah baris dalam serangkap, jumlah perkataan dan suku kata dalam sebaris, tidak tentu. Begitu juga rangkapnya; mungkin mempunyai atau tidak mempunyai rangkap. Dikir/zikir biasanya terdiri daripada ungkapan-ungkapan sejajar yang puitis, dan tidak terikat kepada bentuk yang tertentu. Kadang-kadang dikir/zikir mengambil bentuk-bentuk puisi yang lain seperti pantun, syair, mantera dan nazam.
Puisi ini dinamakan dikir kerana setiap ungkapan atau kata-kata maksud atau isi puisi yang dipaparkan diselang-selikan dengan kata-kata atau ungkapan puji-pujian terhadap Allah s.w.t. dan Nabi Muhammad s.a.w. Pada permulaan puisi, ungkapan puji-pujian (zikir) terhadap Allah s.w.t. dan puji-pujian terhadap Nabi Muhammad s.a.w. (selawat) disusun sehingga membentuk satu rangkap yang tersendiri. Rangkap ini diulang-ulang sehingga adakalanya beberapa rangkap sebelum rangkap isi.
Dikir/zikir tergolong dalam kesusasteraan rakyat kerana penyebarannya dilakukan secara lisan. Berdasarkan isinya, dikir/zikir berfungsi sebagai alat pendidikan atau didaktik iaitu mengingati khalayaknya tentang perkara-perkara yang baik dan yang perlu diikuti, serta menjauhi perkara-perkara yang buruk atau dilarang sama ada dari aspek agama (Islam) atau nilai masyarakat.
Selain itu, dikir/zikir juga sebagai ejen penyebaran dan pemantapan nilai-nilai positif dan akhlak yang baik keada masyarakat khalayaknya, di samping sebagai pengawal nilai sosial dalam masyarakat seperti nilai kerjasama, hormat-menghormati, bertolak ansur dan sebagainya.
Dikir/zikir dituturkan dalam upacara yang tertentu, seperti dalam tarian dabus, permainan kompang/hadrah, dan upacara sambutan maulidur Rasul. Dikir/zikir yang diucapkan atau yang dinyanyikan dalam upacara maulidur Rasul biasanya mengandungi unsur dakwah, dan isinya penuh dengan puji-pujian dan kemuliaan terhadap Nabi Muhammad s.a.w. selain itu dikir/zikir sebagai alat hiburan di majlis-majlis sosial seperti majlis sambutan pembesar, majlis perkahwinan dan sebagainya. Akhir sekali, dikir/zikir sebagai gambaran masyarakat terutama dalam aspek kebahasaan dan nilai-nilai estetika. Contohnya:
Dikir Dabus
Allah hee Allah huu ya Allah,
Baddal hee ya maula,
Allah hee Allah huu ya Allah,
Hudal le ma ti habur sere ya Allah.
Allah humma salli Allah,
Allah he salli dona Allah,
Allah Muhammadun sahu ya Allah,
Hee Allah Allah wabiza aalihi.
Pada kasih penghulu kita Muhammad,
Cahaya bulan empat belas petunjuk yang sempurna,
Hati rindu kepada Nabi Muhammad,
Sentiasalah didapat daripada yang sempurna.
Allah hee Allah huu ya Allah,
Baddal hee ya maula,
Allah hee Allah huu ya Allah,
Hudal le ma ti habur sere ya Allah.
Sumber: didokumentasikan oleh Ahmad Ali Salikin, 1996. Lumut, Perak

Nazam

Nazam
Oleh: Qamarul Arifin Abdullah
Nazam berasal daripada istilah Arab nazam yang bererti puisi. Sejenis puisi yang terikat. Bentuk puisi ini biasanya digubah oleh ulama menurut kaedah dan pertimbangan puisi Arab. Temanya selalu berhubung dengan keagamaan, pendidikan, dan keilmuan. Antara ciri-ciri khasnya ialah terdiri daripada dua baris serangkap dengan jumlah perkataan dan suku kata di dalam sebaris antara 10-12 suku kata. Yang kedua, skema rimanya ialah a/a, b/b, c/c, serima (monorhyme) dan seterusnya. Isinya pula menyentuh tentang hal-hal agama. Isinya tidak sempurna dalam dua baris; dan puisi bentuk nazam ini boleh dibawa secara berlagu seperti nasyid dan qasidah. Tema dalam puisi nazam selalunya berhubung dengan persoalan keagamaan, pendidikan, dan keilmuan. Ada juga yang bertemakan nasihat, akhlak dan sebagainya.
Mesej yang terkandung dalam nazam menggambarkan fungsinya yang tersendiri antaranya menyampaikan peristiwa sejarah seperti hal-hal yang berkisar dengan perjalanan hidup atau riwayat Nabi muhammad s.a.w, menyamaikan pengajaran agama seperti ilmu tauhid, dan menyampaikan nesihat dan pendidikan.
Penyebaran dan fungsi nazam dalam kehidupan masyarakat Melayu tidaklah seluas pantun dan syair. Pada umumnya nazam digunakan dalam menyampaikan ajaran Islam yang meliputi perihal Nabi Muhammad s.a.w., pelajaran tauhid, fikah, dan rukun iman. Bentuk nasyid dan zikir menjadi wadah penyebaran nazam dan biasanya disamakan dalam majlis-majlis keagamaan seperti sambutan awal Muharam, Maulidur Rasul, khatam al-Quran, berendoi dan sebagainya. Contohnya:
Nazam Ajal
Oleh Hj. Ahmad Mufti
Kalau sungguh kamu yakin,
Jangan kamu lalai pada nafsu hati.
Benar tidak bila ada amal kamu,
Puas hati tidak sesalkan dirimu.
Ingat-ingat hai saudara masa itu,
Nyawa sampai batang leher baru tentu.
Kita ini akan matilah sudahnya,
Tidak tahu bila samaikan ajalnya.
Pahit mati itu bukan macam jadam,
Bukan pula macam api boleh padam.
Oleh itu mari kita sama-sama,
Buat amal jangan leka jangan lena.
Pada Tuhan kita datanglah asalnya,
Pada Tuhan kita kembalilah sudahnya.
Sumber: dipetik daripada Md. Ali Bachik (Iladam), 1989. himpunan Puisi Klasik. Shah Alam: Marwilis Publisher.

Rejang

Rejang
Oleh: Qamarul Arifin Abdullah
Rejang menumpang bentuk syair atau pantun yang menggunakan nama hari atau hari bulan berdasarkan firasat, reaksi dan kepercayaan tertentu. Hari atau hari bulan dikaitkan dengan nama-nama binatang, buah-buahan dan tumbuh-tumbuhan.
Istilah rejang mengikut Wilkinson, ada kaitannya dengan ramalan bintang atau astrologi (Mohd. Yusof Md. Nor dan Abd. Rahman Kaeh, 1985). Biasanya , masyarakat di Nusantara ini mempunyai cara-cara yang tertentu untuk meramal hari-hari yang baik dalam sebulan. Hal ini dapat dilihat dalam puisi rejang seperti Ketika Rejang yang dikatakan ada hubungan dengan hubungannya dengan ramalan waktu manakala Rejang Ketika dikaitkan pula dengan raksi (nasib baik atau buruk mengikut perkiraan waktu).
Rejang menumpang bentuk syair atau pantun. Oleh itu, genre ini hampir menyerupai bentuk pantun dan syair, Cuma berbeda pada rima akhir yang tidak tetap, sedangkan pantun atau syair memiliki rima yang tetap.
Ciri-ciri rejang ialah rejang terdiri daripada empat baris serangkap, dua baris pertama merupakan pembayang dan dua baris berikutnya merupakan maksud. Bahkan kalau diteliti lebih lanjut, rejang ini hampir sama dengan pantun berkait. Selain itu, dua baris pertama tidak berhubungan langsung, tetapi ada pula yang berhubungan seperti syair. Biasanya, pengisian dalam rejang membicarakan hal-hal yang berhubungan dengan agama, nasihat, teladan dan pengajaran. Contohnya:
Rejang Hari Bulan
Tujuh hari bulan rejangnya tikus,
Tikus jantan masuk penjara,
Kalau terkenang sifat yang bagus,
Hilanglah akal lenyap bicara.
Tikus jantan masuk penjara,
Penjara besar besi kursani,
Hilanglah akal lenyap bicara,
Dendam oi apa selaku ini.
Penjara besar besar besi kursani,
Perbuatan Maharaja Jaya Dewata,
Dendaru oi apa selaku ini,
Tidur berendam airnya mata.
Sumber: dipetik daripada Ampuan Hj. Brahim bin Ampuan Hj. Tengah, 1999 dalam “Syair Rejang, Penyelenggaraan dan Analisis Teks” Disertasi Ph.D. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Endoi

Endoi
Oleh: Qamarul Arifin Abdullah
Endoi berasal daripada kata “endul” yang bermaksud buaian (Harun Mat Piah, 1989). Endoi merupakan tradisi lisan berbentuk perbuatan yang disambut oleh masyarakat Melayu dalam majlis keramaian seperti kenduri kahwin untuk memeriahkan suasana. Endoi sebagai bentuk puisi tumpang menggunakan bentuk syair, nazam dan juga antun sebagai wadah penyampaiannya.
Antara persoalan yang disampaikan dalam puisi endoi ialah menceritakan salasilah dan riwayat hidup Rasulullah s.a.w. menceritakan kisah-kisah nabi, menyampaikan nasihat kepada anak-anak agar berbuat baik, berbudi bahasa dan menghormati ibu bapa, dan memperkatakan tentang pengajaran Islam seperti rukun islam, dan kitab suci al-Quran.
Secara khususnya, endoi berfungsi untuk menyatakan rasa kesyukuran ibu bapa atas kelahiran anak sulung yang diadakan ketika upacara bercukur rambut anak yang berusia tujuh hari. Selain itu, puisi ini juga bertujuan untuk memberikan panduan dan pengajaran kepada masyarakat khalayaknya. Contohnya:

Syair

Syair
Oleh: Qamarul Arifin Abdullah
Walaupun berasal dari Arab-Parsi namun syair Melayu tidak beracuan syair daripada tradisi Arab atau mana-mana puisi Arab-Parsi tetapi dalam bentuk dan acuan asli masyarakat Melayu (Harun Mat Piah, 1989).
Orang Melayu mula berkenalan dengan syair sejak zaman awal bertapaknya Islam di alam Melayu melalui pengkajian kitab yang terdapat bentuk syair seperti kitab Al-Luma’, Fusus al-Hikam, Al-Insan al-Kamil yang dibawa oleh pengembang agama Islam ke Melaka. Syair berbahasa Arab yang terawal ialah catatan batu nisan Sultan Malik al-Saleh (1297 M) di Pasai.
Selepas itu terdapat syair berbahasa Melayu yang pertama di batu bersurat atau prasasti Minye Tujuh (1380 m). Dalam Sulalatus Salatin Sejarah Melayu terdapat penggunaan syair, sama ada dalam bahasa Arab mahupun bahasa Melayu. Dalam perkembangan persuratan Melayu selanjutnya, Hamzah Fansuri, seorang tokoh ulama dan pujangga melayu merupakan individu yang telah menghasilkan syair dalam bentuk yang lebih Melayu dengan cukup berkesan dan ilmiah temanya. Selepas itu, syair terus berkembang pesat dengan bentuk yang lebih mantap dan tekal. Semenjak itu, syair Melayu sudah menyimpang daripada bentuk syair Arab yang menjadi tiruannya.
Bentuk konvensional syair Melayu mengandungi empat baris serangkap dengan rima a/a/a/a. Bentuk inilah yang paling dominan dalam masyarakat Melayu walaupun terdapat juga variasi-variasi bentuk yang lain.
Menurut Harun Mat Piah (1989), syair dalam bahasa melayu mempunyai beberapa variasi yang bergantung kepada bentuk rimanya iaitu:
i. Dua baris serangkap dengan rima a/b, (memerlukan beberapa rangkap)
ii. Tiga baris serangkap dengan rima a/a/b.
iii. Empat baris serangkap dengan rima a/a/a/a.
iv. Empat baris serangkap dengan rima a/b/a/b.
v. Empat baris serangkap dengan rima a/a/b/b.
vi. Empat baris serangkap dengan rima a/a/a/b, c/c/c/d, d/d/d/d dan seterus nya.
vii. Empat baris seirama (monorhyme).
viii. Empat baris berkait.
Menurut Harun Mat Piah(1983), variasi bentuk syair ini membuktikan bahawa syair tidak terhad kepada satu bentuk sahaja walaupun bentuk empat baris serangkap, dengan rima a/a/a/a lebih luas digunakan. Berdasarkan isi dan tema, syair Melayu mempunyai tujuh jenis tema yang berbentuk cerita(bukan naratif) iaitu syair romantis, syair panji, syair sejarah, syair keagamaan, dan syair kiasan. Manakala syair bukan cerita ialah syair agama, syair nasihat dan tema-tema lain yang berasingan. Contohnya:
Syair Kelebihan Ilmu: Ilmu Itu Bekalan Hidup
Berkata ilmu akulah sultan,
Kerajaan aku darat dan lautan,
Jahil berseru akulah syaitan,
Ikutlah aku merata hutan.
Ilmu itu gemala sakti,
Sinarnya cerah cahaya sejati,
Asal puncanya lamun didaati,
Sukar bercerai sehingga mati.
Harganya tidak dapat ternilaikan,
Sebuah dunia belinya bukan,
Kuasanya bersukat digunakan,
Di laut, di darat, di rimba dan pekan.
Jasa seorang ialah taulan,
Teman berbeka suluh berjalan,
Jasa berhimun ialah pengenalan,
Hiasan penyata polan si polan
Syair
Oleh: Qamarul Arifin Abdullah
Walaupun berasal dari Arab-Parsi namun syair Melayu tidak beracuan syair daripada tradisi Arab atau mana-mana puisi Arab-Parsi tetapi dalam bentuk dan acuan asli masyarakat Melayu (Harun Mat Piah, 1989).
Orang Melayu mula berkenalan dengan syair sejak zaman awal bertapaknya Islam di alam Melayu melalui pengkajian kitab yang terdapat bentuk syair seperti kitab Al-Luma’, Fusus al-Hikam, Al-Insan al-Kamil yang dibawa oleh pengembang agama Islam ke Melaka. Syair berbahasa Arab yang terawal ialah catatan batu nisan Sultan Malik al-Saleh (1297 M) di Pasai.
Selepas itu terdapat syair berbahasa Melayu yang pertama di batu bersurat atau prasasti Minye Tujuh (1380 m). Dalam Sulalatus Salatin Sejarah Melayu terdapat penggunaan syair, sama ada dalam bahasa Arab mahupun bahasa Melayu. Dalam perkembangan persuratan Melayu selanjutnya, Hamzah Fansuri, seorang tokoh ulama dan pujangga melayu merupakan individu yang telah menghasilkan syair dalam bentuk yang lebih Melayu dengan cukup berkesan dan ilmiah temanya. Selepas itu, syair terus berkembang pesat dengan bentuk yang lebih mantap dan tekal. Semenjak itu, syair Melayu sudah menyimpang daripada bentuk syair Arab yang menjadi tiruannya.
Bentuk konvensional syair Melayu mengandungi empat baris serangkap dengan rima a/a/a/a. Bentuk inilah yang paling dominan dalam masyarakat Melayu walaupun terdapat juga variasi-variasi bentuk yang lain.
Menurut Harun Mat Piah (1989), syair dalam bahasa melayu mempunyai beberapa variasi yang bergantung kepada bentuk rimanya iaitu:
i. Dua baris serangkap dengan rima a/b, (memerlukan beberapa rangkap)
ii. Tiga baris serangkap dengan rima a/a/b.
iii. Empat baris serangkap dengan rima a/a/a/a.
iv. Empat baris serangkap dengan rima a/b/a/b.
v. Empat baris serangkap dengan rima a/a/b/b.
vi. Empat baris serangkap dengan rima a/a/a/b, c/c/c/d, d/d/d/d dan seterus nya.
vii. Empat baris seirama (monorhyme).
viii. Empat baris berkait.
Menurut Harun Mat Piah(1983), variasi bentuk syair ini membuktikan bahawa syair tidak terhad kepada satu bentuk sahaja walaupun bentuk empat baris serangkap, dengan rima a/a/a/a lebih luas digunakan. Berdasarkan isi dan tema, syair Melayu mempunyai tujuh jenis tema yang berbentuk cerita(bukan naratif) iaitu syair romantis, syair panji, syair sejarah, syair keagamaan, dan syair kiasan. Manakala syair bukan cerita ialah syair agama, syair nasihat dan tema-tema lain yang berasingan. Contohnya:
Syair Kelebihan Ilmu: Ilmu Itu Bekalan Hidup
Berkata ilmu akulah sultan,
Kerajaan aku darat dan lautan,
Jahil berseru akulah syaitan,
Ikutlah aku merata hutan.
Ilmu itu gemala sakti,
Sinarnya cerah cahaya sejati,
Asal puncanya lamun didaati,
Sukar bercerai sehingga mati.
Harganya tidak dapat ternilaikan,
Sebuah dunia belinya bukan,
Kuasanya bersukat digunakan,
Di laut, di darat, di rimba dan pekan.
Jasa seorang ialah taulan,
Teman berbeka suluh berjalan,
Jasa berhimun ialah pengenalan,
Hiasan penyata polan si polan
Sumber: dituturkan oleh Haji Abd. Rahim Shafie, Langkawi, Kedah keada Wahyunah Haji Abd. Gani dan Mohamad Shaidan (peny.), 2000 dalam Puisi Melayu Lama Berunsur Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Gurindam

Gurindam
Oleh: Qamarul Arifin Abdullah
Walaupun ada pendapat yang mengatakan bahawa istilah Gurindam berasal daripada bahasa Sanskrit dan masuk ke bahasa Melayu menerusi bahasa tamil, tetapi pengisiannya tidak menurut puisi Sanskrit atau Tamil (Za’ba: 1965). Ia merupakan pinjaman dari segi istilah saja.
Gurindam merupakan sejenis puisi yang tidak terikat atau tiada tentu bentuknya (sama ada terikat atau tidak). Bentuk yang terikat biasanya terdiri daripada dua baris serangkap, hampir sama dengan syair dua baris atau nazam. Bentuk yang tidak terikat tergolong sebagai puisi bebas,sama ada berangkap atau tidak; jika berangkap tidak tentu jumlah baris serangkap, jumlah perkataan sebaris; dan mempunyai rima atau tidak.
Puisi jenis gurindam dirujuk kepada “Gurindam Dua Belas” karya Raja Ali Haji (lihat lampiran 3). Meskipun terdapat unsur bebas dalam gurindam berkenaan, seperti tidak ditentukan jumlah perkataan bagi setiap baris, tetapi unsur-unsur terikatnya lebih banyak. Gurindam adalah puisi dua-dua baris, rima akhir bagi dua baris adalah sama dan tiada had bagi jumlah keseluruhan barisnya. Dalam setiap dua baris itu terdapat timbal antara baris pertama dan baris kedua. Dalam gurindam juga kadang-kadang terdapat ciri puisi seperti asonansi, aliterasi, dan gaya bahasa tertentu. Sesebuah gurindam sarat dengan tema dan perutusan yang bersifat nasihat, keagamaan, dan pengajaran. Contohnya:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Perhubungan

Jika mempunyai sebarang soalan atau pertanyaan
bolehlah bertanya di sini
atau
hantarkan E-mail ke



Insyallah pertanyaan anda akan dilayan

Akhbar Online

Akhbar Online
Berita Harian Online

.

.
Metro Online

.

.
NSTP Online

.

.
Utusan Online

.

.
The Star Online

.

.
Sinar Harian Online