Usaha

Usaha Tangga Kejayaan.

Ikhlas

Ikhlaskan diri dalam pembelajaran.

Tawakal

Berserah kepada Tuhan selepas berusaha.
 

Nak Belajar Apa? Cari Di Sini.

Jika anda menggunakan bahan saya. ambil dengan baik dan ucapkanlah terima kasih.

Terima kasih!

Syair Pohon Buluh Antalogi Kuingin Berterima Kasih Komsas Tingkatan 1

23/11/16

PUISI TRADISIONAL
SYAIR POHON BULUH 
oleh Mohd Yusof Md Nor dan Abd Rahman Kaeh
(penyelenggara)
Image result for kartun lawak



MAKSUD

RANGKAP 1

buluh ialah sejenis tumbuhan yang tinggi yang bertingkat-tingkat oleh ruas-ruas

buluh. Di dalam buluh tiada ruang yang tersekat kerana isi buluh adalah kosong.


RANGKAP 2

pohon buluh biasanya mempunyai dedaun yang lebat. Daun-daun buluh tumbuh di

atas pucuk buluh yang tinggi. Pucuk-pucuk buluh biasanya hidup berumpun dan

rapat antara satu sama lain.


RANGKAP 3

buluh mudah dilihat kerana tumbuhan ini panjang dan hidup lurus. Walaupun buluh

ialah tumbuhan yang ketinggiannya tidak sama dan bersaiz berbeza, namun

tumbuhan ini mempunyai asas yang kukuh.


RANGKAP 4

pohon buluh merupakan tumbuhan yang mempunyai permukaan dalam dan luar

yang licin. Oleh sebab ruang di dalam pohon buluh tidak berisi, maka bahagian

dalamannya kelihatan gelap. Di samping itu, air yang diiisi ke dalam ruang dalam

buluh tidak akan bocor atau tiris kerana keutuhan dan kekuatan yang ada pada

buluh


TEMA DAN PERSOALAN

Tema syair ini ialah kekuatan dan keutuhan pohon buluh dalam rumpunnya yang

melambangkan keutuhan hidup bersatu padu dalam kalangan masyarakat.


Persoalan

(a) Sifat buluh yang tinggi dan bertingkat-tingkat.

(b) Ciri-ciri buluh yang hidup berumpun dan bersatu.

(c) Buluh bertingkat-tingkat dibezakan dengan ruas tetapi isinya kosong.

(d) Kepentingan hidup bersatu padu dalam kalangan masyarakat

(e) Kepentingan semangat keutuhan dan asas yang kukuh untuk membangunkan negara.


GAYA BAHASA

(a) Sinkope

Di sana tiada bilik bersekat

Perkataan “tiada” ialah singkatan kepada “tidak ada”.

(b) Pengulangan kata

Di sana tiada bilik bersekat

Tiada tangga naik melekat

(c) Responsi

Yang ada sedia panji-panji bendera,

Banyak ada ia bersaudara,

Yang ada pula bersama gara.

(d) Inversi

“Terlalu kuat pada asasnya” sepatutnya ditulis “Pada asasnya terlalu kuat”

“Gelapnya di dalam seperti malam” sepatutnya ditulis “Di dalamnya gelap seperti malam”.

(e) Simile

Gelapnya di dalam seperti malam

Air tak tiris seperti kolam

(f) Repitasi

Ikatnya licin di luar di dalam


NILAI MURNI

(a) Keutuhan

(b) Bersatu padu

(c) Semangat perpaduan

(d) Setia kawan

(e) Persaudaraan

(f) Hemah tinggi


PENGAJARAN

(a) Kita mestilah memiliki sifat keutuhan demi menghadapi cabaran.

(b) Kita haruslah bersatu padu sebagai bangsa yang kuat.

(c) Kita perlulah bersemangat perpaduan demi menjamin keharmonian hidup.

(d) Kita haruslah bersemangat setia kawan dalam persahabatan dan persaudaraan.

(e) Kita haruslah mementingkan tali persaudaraan demi kekuatan ikatan hubungan.

(f) Kita sewajarnya berhemah tinggi untuk mengekalkan kesejahteraan hidup.

Pantun Dua Kerat (Nasihat) Antologi Kuingin Berterima Kasih KOMSAS Tingkatan 1

PUISI TRADISIONAL
PANTUN DUA KERAT (NASIHAT)
Antologi Kuingin Berterima Kasih (Tingkatan 1)
Related image


Berapa jauh wujud dengan sifat,
Sejauh lutut dengan pelipat.

Sarang semut dalam gelap,
Orang selimut selalu lelap.

Hitam-hitam pucuk kawa,
Sungguh hitam dipandang lawa.

Emas , perak tembaga suasa,
Malas bergerak tidak merasa.

Buah sintang buah senikul,
Satu memegang satu memikul.


Rangkap 1
Melalui penampilan fizikal (luaran) individu, kita turut dapat melihat sikap dan perwatakannya kerana dua aspek ini tidak jauh berbeza. Jarak di antara lutut dengan pelipat sangat dekat (lutut di hadapan kaki manakala pelikat di bahagian belakang kaki). Jadi, perbuatan dan tingkah laku seseorang dapat menggambarkan diri, sikap, cara berfikir dan membuat keputusan. Dengan itu rangkap ini merupakan nasihat kepada masyarakat supaya menjauhi sifat atau sikap buruk.


Rangkap 2
Rangkap ini menyatakan bahawa orang yang berdiam diri, tidak melakukan sebarang pekerjaan akan ketinggalan. Sikap malas perlu dijauhi. Dalam erti kata lain, orang yang tidak produktif, akan rugi kerana mensia-siakan masa. 


Rangkap3
Orang yang memiliki kuliy hitam tetap kelihatan cantik dan ada keistimewaannya. Sebarang kekurangan dalam diri tidak akan menjadi masalah sekiranya kita bijak menutupnya dengan kebolehan dan keistimewaan lain. Meskipun mempunyai kelemahan, kita tetap akan dipandang mulia sekiranya mempunyai ciri-ciri baik dan terpuji.


Rangkap 4
Individu yang malas berusaha tidak akan berpeluang menikmati kejayaan. Mereka sekadar kekal di takuk lama tanpa sebarang perubahan dan tidak akan mendapat rezeki yang banyak.

Rangkap 5
Individu yang cekap mampu melakukan dua atau lebih kerja dalam satu masa. Individu seperti ini bijak memanfaatkan masa dan peluang agar urusan-urusan yang dilakukan dapat selesai dengan cepat. Selain itu, rangkap ini boleh ditafsirkan sebagai keadaan dalam komuniti atau masyarakat yang saling membantu dan bekerjasama.

Tema
Nasihat mengenai keperluan memupuk sikap yang baik dan berkualiti dalam diri. Sikap dan amalan baik ini akan memberi kesan positif kepada masyarakat.

Persoalan
  1. Sikap yang terpuji seperti baik hati wajar menjadi amalan dalam masyarakat.
  2. Kerajinan dalam berusaha - sikap malas bertindak akan merugikan diri dan masyarakat.
  3. Masyarakat harus bersikap positif dan menghindari sikap terlalu merendah diri.
  4. Sikap malas bekerja harus dihindari.
  5. Kebijaksanaan dalam melakukan pekerjaan  dan sikap tolong menolong yang merupakan amalan mulia.

 Bentuk
  1. Pantun dua kerat - bentuk terikat.
  2. Mempunyai lima rangkap.
  3. Setiap rangkap mempunyai dua baris.
  4. Baris pertama ialah pembayang manakala baris kedua ialah maksud.
  5. Terdiri daripada lapan hingga sebelas suku kata.
  6. Terdiri daripada tiga hingga lima patah perkataan dalam sebaris.
  7. Rima akhirnya  aa.

Gaya bahasa

Asonansi
Pengulangan vokal u
  • Buah sintang buah senikul

Pengulangan vokal a
  • Berapa jauh wujud dengan sifat
  • Sarang semut dalam gelap
  • Emas, perak, tembaga suasa

Aliterasi
Pengulangan konsonan m
  • Satu memegang satu memikul

Pengulangan konsonan t
  • Sejauh lutut dengan pelipat

Imej Alam
buah sintang, buah senikul, emas, perak, tembaga, suasa

Repitisi
Buah sintang buah senikul,
Satu memegang satu memikul.

Responsi
Hitam-hitam pucuk kawa,
Sungguh hitam dipandang lawa.

  
 Nilai
  1. Baik hati
  2. Gigih berusaha
  3. Tolong-menolong
  4. Berfikiran positif
  5. Rajin
  6. Bekerjasama

Pengajaran
  1. Kita hendaklah menanam sifat baik hati dalam diri dan dijadikan amalan dalam kehidupan.
  2. Kita hendaklah gigih berusaha dalam mencapai matlamat hidup supaya tidak ketinggalan atau keciciran.
  3. Kita hendaklah berfikiran positif dan mengelakkan perasaan terlalu merendah diri.
  4. Kita hendaklah rajin berusaha demi mencapai kejayaan.
  5. Kita hendaklah bijak dalam melakukan sesuatu pekerjaan agar apa yang dilakukan dapat siap dengan cepat.
  6. Kita hendaklah saling membantu dan bekerjasama agar kerja yang berat menjadi ringan.

kredit

[NOTA] Senarai Peribahasa dalam Buku teks Tingkatan 5 SPM

7/10/16




untuk pengetahuan pelajar semua, kebiasaannya soalan kertas 2 Bahasa melayu SPM berkaitan peribahasa akan diambil daripada buku teks tingkatan 4 dan 5 (Peribahasa Tingkatan 4 di sini). oleh itu berikut merupakan senarai peribahasa:



1. lintah darat
Maksud : Peniaga yang mengambil keuntungan yang terlalu tinggi.

2. bagai aur dengan tebing
Maksud : Hubungan yang rapat antara sama sama yang lain dan saling membantu.

3. anak dagang
Maksud : Orang luar yang datang menetap di sesuatu tempat

4. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri
Maksud : Walau bagaimanapun kelebihan di negara orang, tetap negeri sendiri lebih baik lagi.

5. kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai
Maksud : Kalau takut berhadapan dengan penderitaan , lebih baik jangan melakukan sesuatu yang susah


6. indah khabar daripada rupa
Maksud : Perkhabaran tentang sesuatu perkara yang dilebih-lebihkan.

7. hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah
Maksud : Pengagihan yang sama banyak.

8. bukit sama didaki, lurah sama dituruni
Maksud : Perhubungan yang sangat akrab, senang susah bersama.

9. kacang lupakan kulit
Maksud : Orang yang melupakan asalnya atau orang yang pernah menolongnya setelah mendapat kesenangan.

10. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
Maksud : Menurut adat atau peraturan di tempat yang kita diami atau tinggal.

11. masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak
Maksud : Menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan

12. ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua
Maksud : kesilapan yang dilakukan oleh seseorang menyebabkan orang lain yang menerima akibatnya..

13. memerah otak
Maksud : Berfikir dengan bersungguh-sungguh.

14. kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya
Maksud : Tak akan tercapai maksudnya kalau tak mahu berusaha dan bersusah payah

15. berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian
Maksud : Bersusah payah terlebih dahulu untuk mendapatkan kesenangan pada kemudian hari.

[ NOTA] Senarai Peribahasa dalam Buku teks Tingkatan 4 SPM



SPM: Senarai Peribahasa dalam Buku teks Tingkatan 4

untuk pengetahuan pelajar semua, kebiasaannya soalan kertas 2 Bahasa melayu SPM berkaitan peribahasa akan diambil daripada buku teks tingkatan 4 dan 5 (Peribahasa Tingkatan 5 di sini). oleh itu berikut merupakan senarai peribahasa:




1. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat
    Maksud : Kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat.

2. Darah daging
    Maksud : Anak dan saudara-mara daripada keturunan sendiri.

3. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
    Maksud : mengalami susah senang bersama-sama.

4. meninggi diri
    Maksud : Sombong

5. bermuka dua
    Maksud : Tidak jujur.

6 baik hati
    Maksud : Bersikap baik dan penyayang (suka menolong).

7. tulang belakang
      Maksud : Punca kekuatan/ orang harapan

8. bara yang digenggam biar sampai jadi arang
      Maksud : Mengerjakan sesuatu yang sukar hendaklah sabar, sehingga mencapai kejayaan.

9. bagai kaca terhempas ke batu
      Maksud : Sangat sedih atau kecewa.

10. melentur buluh biarlah dari rebungnya
      Maksud : Mendidik anak biarlah sejak mereka kecil lagi.

11. duduk sama rendah, berdiri sama tinggi
      Maksud : dua orang atau pihak yang sama darjat dalam adat

12. seperti lembu dicucuk hidung
      Maksud : Orang yang selalu menurut kemahuan orang

13. yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing
      Maksud : Bersama-sama menghadapi atau mengerjakan sesuatu.

14. dayung sudah di tangan, perahu sudah di air
      Maksud : segala-gala yang dikehendaki sudah diperoleh.

15. terang hati
       Maksud : Lekas pandai.

Video Contoh Forum

28/09/16


Berikut merupakan beberapa contoh pelaksanaan forum


Contoh Surat Rasmi Tidak Hadir Ke Sekolah


Contoh Surat Rasmi Tidak Hadir Ke Sekolah


Ramai yang minta contoh surat rasmi ketidakhadiran anak-anak ke sekolah. berikut merupakan contoh surat rasmi tidak hadir ke sekolah sama ada sekolah rendah mahu pun sekolah menengah.


Contoh 1


Ahmad Bin Daud
Taman Pelangi,
91308 Semporna, Sabah.
___________________________________________

Nama (jika tahu)
Guru Kelas 5 Al-Khawarizmi
Sek. Men. Keb. Agama Tun Sakaran,
91308, Semporna, Sabah

Tuan/ Puan,
PER: TIDAK HADIR KE SEKOLAH
Merujuk pernyataan diatas , saya Rahman Bin Daud waris penjaga Atikah Bt. Ahmad ingin menjelaskan sebab anak jagaan saya tidak dapat menghadirkan diri ke sekolah pada 27/07/2016.

2. Anak jagaan saya tidak dapat menghadirkan diri ke sekolah disebabkan mengalami demam yang bermula 26/07/2016 setelah pulang dari sekolah.

3. Saya telah membawa anak jagaan saya untuk dirawat pada malam 26/07/2012 berikutan demam yang berlanjutan. Dengan itu, saya sertakan sekali sijil cuti sakit yang diberikan doktor bagi membolehkan anak saya bercuti sehari.

Saya ingin meminta maaf diatas kejadian dan berharap pihak tuan dapat mempertimbangkan surat ini.
Sekian terima kasih.
Yang Benar,
(Ahmad Bin Daud)
 
 

Contoh Teks Forum Untuk ULBS SPM Tingkatan 4 & 5 - Rokok

21/09/16






ROKOK – SETIAP SEDUTAN MEMBAWA PADAH

Pengerusi : Bismillahhirahmannirrahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Warga dewan sekalian, bertemu kita lagi dalam gelanggang Forum Remaja. Topik kita pada hari ini ”ROKOK-Setiap Sedutan Membawa Padah”. Bersama saya adalah 3 orang ahli panel yang tidak asing lagi. Jangan ragu dan jangan risau kerana nampaknya warga dewan kita khususnya para jejaka tidak senang duduk melihat kejelitaan tiga orang ahli panel kita pada hari ini . Baiklah di sebelah kanan saya, ahli panel pertama,saudari (nama). Selamat datang saudari. Seterusnya ahli panel kedua, ayu berbaju kurung saudari (nama). Selamat datang saudari. Dan di hujung sana, nampak pemalu tapi bijak berkata-kata, saudari (nama). Selamat datang juga buat saudari. Baiklah sebelum saya menyimpang lebih jauh , soalan saya pada panel pertama, apakah kandungan yang boleh kita dapati di dalam rokok?

Panel Pertama: Terima kasih kepada saudari pengerusi, Setiap batang rokok yang dinyalakan akan mengeluarkan lebih 4 000 bahan kimia beracun yang membahayakan dan boleh membawa maut. Dengan ini setiap sedutan itu menyerupai satu sedutan maut. Di antara kandungan asap rokok termasuklah bahan radioaktif (polonium-201) dan bahan-bahan yang digunakan di dalam cat (acetone), pencuci lantai (ammonia), ubat gegat (naphthalene), racun serangga (DDT), racun anai-anai (arsenic), gas beracun (hydrogen cyanide) yang digunakan di "kamar gas maut" bagi pesalah yang menjalani hukuman mati, dan banyak lagi. Bagaimanapun, racun paling penting adalah Tar, Nikotin dan Karbon Monoksida.

Contoh Teks Forum Untuk ULBS SPM Tingkatan 4 & 5 - Disiplin Pelajar

14/09/16


TAJUK FORUM : MENDISIPLINKAN PELAJAR: TANGGUNGJAWAB SIAPA?


Pengerusi : Bismillahhirahmannirrahim, AlHamdulillahi robbil ‘alamiin, wassolatu wassalaamu ‘alaa asyrofil anbiyai wal mursaliin.. wa ‘ala alihi wa sohbihi ajma’iin.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Ukhwah, Salam Kasih Sayang dan Salam 1 Malaysia.

Warga dewan sekalian,
Bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin serta limpah kurnia daripadaNya, dapat kita bertemu kita lagi dalam gelanggang Forum Remaja bersama saya ________________________ pada pagi/petang yang berbahagia ini.
Hadirin yang dirahmati Alah sekalian, sebelum saya memperkenalkan ahli-ahli panel kita pada hari ini, kita sedia maklum, dewasa ini, masalah disiplin dalam kalangan pelajar boleh dikatakan berada dalam tahap yang agak membimbangkan semua pihak. Justeru, masalah ini perlu dilihat dalam skop yang lebih besar jika ianya ingin diselesaikan. Sesuai dengan tajuk forum kita pada kali ini Pendisiplinan pelajar: Tanggungjawab Siapa? Persoalan inilah kunci utama forum yang ingin kita gunakan sebagai pembuka pintu-pintu kecemerlangan pendidikan akhlak di sekolah khususnya dalam persoalan mengatasi masalah disiplin pelajar.

Sebelum mengupas tajuk ini dengan lebih mendalam, terlebih dahulu, mari kita berkenalan dengan tiga orang ahli panel kita pada hari ini. Jangan ragu dan jangan risau kerana warga dewan sememangnya tidak asing lagi dengan panel-panel kita pada hari ini.

Baiklah di sebelah kanan saya, ahli panel pertama, saudara/saudari _______________________ yang merupakan __________________________ Apa khabar saudari?
Panel Pertama : AlHamdulillah sihat Cik Pengerusi. Cik Pengerusi macamana?
Pengerusi : Alhamdulillah, sihat juga.
Seterusnya ahli panel kedua, ayu berbaju kurung saudari/saudara____________________________, jawatan. Selamat datang saudari.
Dan di hujung sana, nampak pemalu tapi bijak berkata-kata, saudari/saudara _________________. Selamat datang juga buat saudara.

Sebelum saya menyimpang dengan lebih jauh, soalan saya pada panel pertama, apakah sebenarnya konsep tanggungjawab dan disiplin.

Panel Pertama: Terima kasih pengerusi yang cantik molek pekertinya membawa rasional persoalan. Terlebih dahulu, yang dihormati, barisan tetamu kehormat, kombinasi intelektual kehakiman, rakan-rakan panel yang lain dan seterusnya hadirin yang dirahmati Allah sekalian.

Pada pendapat saya, tanggungjawab dan disiplin tidak dapat dipisahkan dan sudah semestinya membawa kepada persoalan yang berkait dengan kawalan individu, pemimpin, masyarakat dan sebagainya. Kawalan inilah yang penting dalam menentukan jati diri, akhlak, serta kualiti yang ingin dicapai ataupun di tonjolkan. Ringkasnya tanggungjawab adalah rukun utama dalam pembentukan disiplin. Di sekolah, disiplin satu kawalan sosial bagi mewujudkan suasana tenteram supaya proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan teratur dan lancar. Maka disinilah terletaknya tanggungjawab yang digalas oleh semua pihak yang terlibat dengan disiplin pelajar sama ada murid itu sendiri, guru disiplin, guru-guru, pihak pentadbiran mahupun ibu bapa atau masyarakat umumnya. Bagi masyarakat di luar sekolah, tanggungjawab dan disiplin adalah asas penting bagi membentuk kerukunan hidup selaras dengan norma, nilai dan aspirasi negara. Amanah yang dipikul dengan baik adalah tunjang kepada kawalan sosial yang baik. Namun tidak dinafikan, ramai juga masyarakat di luar sana menganggap tanggungjawab dan disiplin adalah suatu perkara yang sangat negatif iaitu merupakan masalah sosial dan tidak amanah sedangkan hakikatnya ia merupakan usaha yang perlu bagi memperbaiki etika dan gaya hidup bertamadun manusia. Contohnya orang Jepun yang membangunkan negara mereka setelah menjadi padang jarak padang tekukur dan kini merupakan negara moden seperti sekelip mata. Asasnya tidak lain dan tidak bukan adalah tanggungjawab dan disiplin yang hebat.

Pengerusi : Terima kasih kepada panel pertama kita atas lontaran konsep yang utuh lagi berisi. Sebentar tadi panel pertama ada menyatakan bahawa, disiplin dan tanggungjawab perlu bergerak seiring untuk mencapai tahap kecemerlangan yang maksimum. Ia boleh diibaratkan sebagai irama dan lagu, iaitu tidak sempurna disiplin tanpa tanggungjawab, dan tanpa tanggungjawab, disiplin tidak akan dapat dibentuk. Justeru, saya ingin menanyakan persoalan seterusnya kepada ahli panel kita yang kedua, apakah asas kepada pendisiplinan pelajar agar kecemerlangan secara holistik dapat dicapai?



Panel Kedua: Soalan yang amat menarik daripada pengerusi kita pada hari ini. Bismillah.. Baiklah sebenarnya, latar belakang keluarga, suasana sekolah dan keadaan persekitaran mempengaruhi tindakan para pelajar untuk melanggar peraturan yang ditetapkan. Saya berpendapat peranan semua pihak diperlukan dalam memastikan permasalahan ini dapat pendisiplinan terletak di bahu ibu bapa. Seharusnya, pihak ibu bapa perlu sedar akan kepentingan hubungan yang erat dengan guru-guru di sekolah. Perjumpaan berkala di antara ibu bapa para pelajar dengan pihak sekolah perlu diadakan sekerap yang boleh. Tindakan ini amat penting kerana ianya boleh menjadi medium perbincangan prestasi dan disiplin anak-anak mereka di sekolah. Hal ini amat signifikan kerana sekiranya golongan ibu bapa mengambil remeh tentang masalah disiplin anak-anak mereka di sekolah, golongan anak-anak itu akan merasa bebas dan terbiar sehingga menyebabkan mereka membuat tindakan yang bertujuan untuk mendapatkan perhatian seperti melawan guru, ponteng kelas, ponteng sekolah, membuli dan sebagainya yang mana hal ini akan menambah dan meningkatkan masalah kes disiplin di sekolah. Oleh itu, pihak ibu bapa dan guru di sekolah perlu mengadakan hubungan yang baik supaya segala masalah yang berkaitan dengan pelajar dapat diselesaikan “sebelum nasi menjadi bubur”.
Pengerusi : Terima kasih kepada panel kedua atas pandangan yang amat bernas sebentar tadi. Sekarang sudah terang lagi bersuluh bahawa sebenarnya terdapat banyak asas pendisiplinan yang boleh diimplementasikan untuk mengawal masalah disiplin pelajar di sekolah. Jika dua orang panel kita tadi menerangkan tentang konsep tanggungjawab dan disiplin serta menghuraikan dengan selengkapnya tentang asas-asas pendisipinan pelajar, saya ingin meminta pendapat panel ketiga tentang persoalan ‘Pendisiplinan pelajar, sebenarnya terletak di bahu siapa’? Dipersilakan..

Panel Ketiga : Bismillah...Terlebih dahulu, terima kasih kerana menjemput saya untuk berbicara dalam majlis forum ini. Untuk menjawab persoalan ini, umum sedia maklum, isu-isu berkaitan dengan masalah disiplin di kalangan pelajar sekolah sering diperkatakan pada masa kini dan menjadi fokus media massa. Buktinya, pada 5 Ogos 2007, berita penangkapan kanak-kanak berumur 12 tahun yang dituduh terlibat dalam kejadian menculik dan merogol wanita berumur 30 tahun berulangkali secara bergilir-gilir telah disiarkan di Buletin 1.30.
Hadirin yang dirahmati Allah sekalian,
Dengar-dengarkan pantun ini :
Berburu ke padang datar,
Dapat rusa berbelang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.

Pantun empat kerat tadi membawa maksud menuntut ilmu biarlah dengan cara yang betul dan bersungguh-sungguh. Jika tidak, ilmu yang dituntut akan hilang atau sia-sia begitu sahaja. Manusia dituntut mencari ilmu sehingga ke akhir hayat. Sebagaimana sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud:
"Sesungguhnya menuntut ilmu itu merupakan kewajipan bagi setiap Muslim.” (Riwayat Ahmad dan Ibn Majah)
Ilmu diperoleh daripada pelbagai sumber antaranya melalui pembacaan, penelitian, pentaakulan belajar daripada pengalaman lepas serta yang paling utama menuntut ilmu daripada seseorang yang pakar dalam bidang tertentu yang digelar guru. Konsep guru merujuk kepada seseorang yang mengajar dan mendidik sama ada untuk mencapai kejayaan akademik atau kemuliaan akhlak. Guru ada di mana-mana. Ibu bapa boleh menjadi guru yang paling baik buat anak-anaknya. Seorang kakak atau abang boleh menjadi guru kepada adik-adiknya.
Masyarakat juga boleh bertindak sebagai guru sekiranya wujud kerencatan dalam kelompok sosialnya. Hakikatnya, semua orang bertindak sebagai guru dalam kehidupannya. Guru dalam konsep ini lebih kepada tugas ingat-mengingati, saling mencerna pemikiran melalui pengalaman, mendidik dan mendisiplinkan diri sendiri dan orang lain serta mengajar sesuatu yang berlaku dalam hidup dengan penerimaan yang baik. Maka pendapat saya tidak lain dan tidak bukan adalah tanggungjawab didikan tidak kiralah daripada ibu bapa, guru, masyarakat, media massa dan semua yang terlibat adalah bertanggungjawab dalam pembentukan disiplin iaitu pendisiplinan pelajar. Seperti kata-kata sahabat Rasulullah SAW tentang penilaian baik masyarakat ( muslimin ) adalah baik pada Allah SWT dan sebaliknya jika penilaian buruk maka buruklah bagi Allah SWT.

Pengerusi: Sungguh intelektual pemikiran saudari panel kita yang ketiga. Memang tidak dapat disangkal lagi, semua pihak harus bekerjasama bagi mendisiplinkan atau memantapkan akhlak pelajar pada masa kini bak kata pepatah “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”.. Tetapi saya ingin bertanya secara ringkas tentang pendapat ahli panel kita pada hari ini, siapakah yang sebenarnya menggalas tanggungjawab utama bagi mendisiplinkan pelajar di sekolah? Saya persilakan panel kita yang pertama dahulu untuk memberikan sedikit ulasan.

Panel Pertama: Terima kasih kepada pengerusi atas persoalan yang diujarkan. Pada pendapat saya, pihak yang menggalas akauntabiliti utama dalam mendisiplinkan pelajar adalah golongan ibu bapa. Peranan ibu bapa adalah amat penting dalam memberikan perhatian yang serius terhadap anak-anak mereka. Hal ini disebabkan ibu bapalah yang sentiasa memerhatikan setiap gerak-geri atau pergerakan anak-anak mereka. Di samping itu, golongan ibu bapa mempunyai tanggungjawab dan amanah untuk mendidik anak-anak mereka sejak berada di dalam kandungan lagi. Di samping itu, ibu bapa juga perlu meningkatkan penghayatan anak-anak terhadap agama, nilai-nilai murni, motivasi, melatih anak cara bersopan, prinsip-prinsip akauntabiliti, menunjukkan keperibadian yang mulia, sanggup menerima kelemahan diri serta meneroka potensi anak. Justeru, Ibu bapa hendaklah menjadi “role model” kepada anak agar anak-anak tidak kehilangan arah dan menjadi insan yang berilmu dan beragama, penyumbang kepada kemantapan ummah seantero dunia, insya-Allah.

Pengerusi: Begitu hebat kata-kata atau pendapat yang diutarakan oleh panel kita sebentar tadi. Diharapkan ianya dapat dijadikan pegangan dan panduan oleh golongan ibu bapa di luar sana untuk mendidik anak remaja kita menjadi insan yang berilmu dan beragama, insya-Allah. Sekarang kita perdengarkan pula pendapat daripada panel kita yang kedua, secara ringkas tentang siapakah yang menggalas peranan utama dalam mendisiplinkan pelajar?


Panel Kedua: Terima kasih saudari pengerusi yang tidak kurang petah bicaranya. Pada pandangan saya, pihak yang menggalas peranan utama dalam mendisiplinkan pelajar ialah Pembimbing Rakan Sebaya (PRS). Hal ini disebabkan, dari sudut psikologi, peringkat remaja adalah peringkat paling berpengaruh dalam kehidupan mereka. Pada peringkat inilah, pengaruh rakan sebaya paling kuat dan paling diterima. Mereka lebih rela menceritakan dan mencurahkan perasaan kepada rakan berbanding ibu bapa, guru atau orang dewasa lain. Oleh itu, pendekatan logikal ialah menggunakan remaja untuk mempengaruhi remaja lain. Program Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dapat memenuhi hasrat ini dengan syarat mereka dilatih dan diselia dengan teratur. Oleh itu, adalah disarankan supaya pemilihan dan perkembangan latihan ahli PRS hendaklah dipantau bersama kedua-dua pihak iaitu pihak sekolah dan juga ibu bapa. Insya-Allah, sekiranya ahli-ahli PRS menerima latihan secukupnya dalam menangani masalah disiplin pelajar di sekolah, insya-Allah, masalah disiplin ini akan dapat diatasi. Wallahu’alam.

Pengerusi : Begitu hebat sekali wacana yang dilontarkan oleh panel kedua kita sebentar tadi. Seterusnya persoalan terakhir untuk panel kita yang ketiga, masih berlegar dalam persoalan yang sama iaitu pihak manakah yang memegang tanggungjawab yang berat dalam mendisiplinkan atau memanusiakan insan pdelajar di sekolah kita pada haroi ini?

Panel Ketiga: Terima kasih kepada sadari pengerusi yang sentiasa aktif menanyakan banyak persoalan intelek. Baiklah, untuk menjawab persoalan ini, cuba kita renungi baris-baris akhir sebuah sajak yang berbunyi:
Jika hari ini siapa saja perosak bangsa;
Bermula dengan kegagalan guru kita
Cuai mengasuh generasi muda

Saya yakin sajak ini akan menguris hati seorang guru. Kalaupun tidak terpalit luka mungkin wujud juga sedikit rasa tersinggung mahupun kecewa lantaran dikatakan gurulah menjadi punca kepada kemunculan perosak bangsa. Namun itulah realitinya kehidupan hari ini. Kalau dulu guru merupakan individu atau kumpulan kecil masyarakat yang amat dihormati, situasi kini jauh berbeza. Kalau dulu, ramai yang mengakui bahawa ‘dewasanya seseorang itu adalah dimulakan oleh seorang guru biasa’, namun kini masyarakat lebih mudah menyalahkan para guru apabila hasil didikan tidak ‘menjadi’.
Menyedari tentang keretakan hubungan yang berlaku antara ibu bapa dan guru pada hari ini, ianya perlu diperhalusi dan dicari penyelesaian terbaik untuk mengembalikan kepercayaan ibu bapa kepada pihak sekolah umumnya dan guru khasnya. Hubungan yang erat antara guru dan ibu bapa amat penting agar masalah disiplin pelajar di sekolah dapat dikurangkan dan bukan semakin bertambah dan membimbangkan semua pihak. Justeru pihak yang paling menggalas beban berat untuk mengatasi masalah disiplin pelajar di sekolah adalah golongan ibu bapa, guru, pihak berwajib dan masyarakat sekeliling. Mereka ini seharusnya melakukan anjakan paradigma dengan lebih berfikiran positif, menerima kelemahan anak-anak mereka dan bersangka baik dengan guru-guru di sekolah.
Sekiranya hal ini dapat diwujudkan, insya-Allah, masalah disiplin dalam kalangan pelajar akan dapat diatasi bak kata kerana hanya dengan bekerjasama akan dapat melahirkan hasil yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Pengerusi: Terima kasih saya ucapkan kepada ketiga-tiga ahli panel kita kerana sudi hadir dan sudi menyuarakan pendapat masing-masing. Moga apa yang kita dapat hari ini tidak sekadar ” masuk telinga kanan, keluar telinga kiri”. Nampaknya masa amat mencemburui kita, sebelum berakhir mari kita sama-sama menepuk tangan untuk diri sendiri kerana berjaya dan tekun mendengar perbincangan kita hari ini.(tepuk tangan).
Kesimpulannya perkara yang berkaitan dengan masalah ini sebenarnya bukanlah suatu perkara yang patut kita pandang remeh. Setiap individu mempunyai tanggungjawab dalam membendung kemelut ini daripada terus menjadi barah.

Sebelum kita menuding jari kepada mana-mana pihak, elok kita renung-renungkan sejenak....
Lautan Itu Dunia,
Bahtera Itu Kita,
Kemudi Itu Agama,
Peliharalah Bahtera Daripada Karam Di Lautan Dunia


Sebelum mengakhiri bicara forum kita pada hari ini, terimalah serangkap pantun yang berbunyi:
Tuailah padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan;
Intailah kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan.

Sekian sahaja untuk hari ini, terkasar bahasa, tersilap bicara, mohon dimaafkan. Sesungguhnya yang baik itu datangnya daripada Yang Maha Pencipta, dan yang kurang elok itu datangnya daripada kekhilafan diri kami sendiri.
Wallahu’alam
Saya akhiri forum remaja kita pada pagi ini dengan lafaz yang mulia.
Wabillah hitaufiq Walhidayah Assalamualaikum Warahmatullahhiwabarakatuh
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Perhubungan

Jika mempunyai sebarang soalan atau pertanyaan
bolehlah bertanya di sini
atau
hantarkan E-mail ke



Insyallah pertanyaan anda akan dilayan

Akhbar Online

Akhbar Online
Berita Harian Online

.

.
Metro Online

.

.
NSTP Online

.

.
Utusan Online

.

.
The Star Online

.

.
Sinar Harian Online