Usaha

Usaha Tangga Kejayaan.

Ikhlas

Ikhlaskan diri dalam pembelajaran.

Tawakal

Berserah kepada Tuhan selepas berusaha.
 

Nak Belajar Apa? Cari Di Sini.

Jika anda menggunakan bahan saya. ambil dengan baik dan ucapkanlah terima kasih.

Terima kasih!

CONTOH SOALAN DAN JAWAPAN KARANGAN PENULISAN BM SPM

1/02/18


CONTOH SOALAN DAN JAWAPAN 

Bahagian B
[100 Markah]
[Masa dicadangkan : 1 jam 30 minit]

Pilih satu daripada soalan di bawah dan tulis sebuah karangan yang panjangnya lebih daripada 350 patah perkataan.

  1. Unit Kaunseling sekolah anda telah menganjurkan Pameran Kerjaya untuk murid-murid tingkatan 5. Pada pendapat anda, apakah kebaikan pameran kerjaya tersebut kepada pelajar Tingkatan 5.

  1. Displin yang semakin merosot dalam kalangan pelajar sekolah berpunca daripada sikap ibu bapa yang kurang memberikan perhatian kepada anak-anak. Bincangkan kenyataan ini.

  1. Semangat kejiranan dalam kalangan rakyat di negara kita semakin longgar. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang harus diambil supaya semangat kejiranan dalam kalangan penduduk dapat ditingkatkan.

  1. Rakyat Malaysia digalakkan supaya menguasai bahasa asing. Pada pendapat anda, apakah kepentingan rakyat Malaysia menguasai bahasa asing

  1. Anda telah membaca sebuah cerpen yang menarik.  Tulis ulasan tentang cerpen tersebut.


Jawapan:


 Soalan 1:
Unit Kaunseling sekolah anda telah menganjurkan Pameran Kerjaya untuk murid-murid tingkatan 5. Pada pendapat anda, apakah kebaikan pameran kerjaya tersebut kepada pelajar Tingkatan 5.

Jawapan:

T=Pameran kerjaya
K=Kebaikan
F=Umum


Isi:
1. pelajar yang berwawasan tinggi dapat dibentuk.
2. pameran kerjaya membantu para pelajar menentukan kerjaya yang akan diceburi oleh mereka.
3. pameran kerjaya dapat menambah pengetahuan am para pelajar.
4. para pelajar Tingkatan Lima dapat melakukan penelitian untuk memilih institusi pengajian tinggi yang sesuai dengan mereka

     (AR1) Pameran kerjaya merupakan satu eksposisi dalam bentuk ceramah yang disampaikan oleh golongan yang lebih berpengetahuan mengenai bidang-bidang pekerjaan yang boleh diceburi oleh para pelajar yang akan menamatkan alam persekolahan. (AR2) Pameran seperti ini merupakan salah satu inisiatif Unit Kaunseling dengan kerjasama pihak institusi pengajian tinggi untuk memberikan pengetahuan asas mengenai bidang-bidang pekerjaan yang tersedia dalam pasaran kerjaya supaya para pelajar mendapat gambaran yang jelas tentang alam pekerjaan supaya mereka tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung. (AR3) Kebiasaannya, beberapa institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) akan menghantar wakil untuk memberikan taklimat  kepada para pelajar tentang jurusan-jurusan yang ditawarkan di pusat pengajian mereka, sekali gus memberikan  panduan mengenai haluan yang boleh diikuti oleh para pelajar untuk menceburi sesuatu bidang pekerjaan. (AR4) Antara bidang kerjaya yang popular dan berjaya menarik hati para pelajar termasuklah bidang perubatan, bidang kejuruteraan, bidang automotif, dan sebagainya. (AR5) Seiring dengan keadaan kritikal yang dilalui oleh kebanyakan sektor pekerjaan penting di negara kita, pameran kerjaya memberikan informasi yang pelbagai untuk melahirkan keinginan generasi muda bagi mengisi sektor-sektor penting tersebut. (AA) Oleh itu, terdapat banyak kebaikan yang dapat diperoleh melalui pameran kerjaya, khususnya kepada pelajar Tingkatan Lima.

     (AJ) Satu daripada kebaikan pameran kerjaya ialah pelajar yang berwawasan tinggi dapat dibentuk. (AH1) Rata-rata pelajar di Malaysia sering dihantui kebingungan apabila ditanya mengenai cita-cita mereka dan air muka  mereka tidak menunjukkan sebarang perasaan yang mengujakan setiap kali topik ini diketengahkan. (AH2) Hal ini dikatakan demikian kerana, mereka langsung tidak mempunyai impian dan mereka tidak mempunyai hala tuju yang jelas mengenai masa hadapan seperti yang ingin dinikmati oleh mereka. (AH3) Mereka tidak pernah merenung sejenak untuk memikirkan sama ada kejayaan atau kesengsaraan yang akan dilalui oleh mereka apabila dewasa nanti. (AC) Sebagai contohnya, menurut satu kajian yang dilakukan di Barat, hampir kesemua respondan yang mempunyai cita-cita semasa alam persekolahan telah berjaya mendapat kerjaya yang diidam-idamkan oleh mereka setelah mereka dewasa. (AH3) Soekarno, seorang pemimpin terulung Indonesia pernah mengatakan, “Gantunglah cita-citamu setinggi bintang-bintang di langit. Jika kau jatuh, kau akan jatuh antara bintang-bintang.” (AH4) Melalui pendedahan awal dalam pameran kerjaya ini, para pelajar akan berminat untuk meneliti pasaran kerjaya yang sesuai mengikut personaliti mereka. (AP) Oleh itu, pameran kerjaya yang dilaksanakan dapat membentuk wawasan yang tinggi dalam diri para pelajar.

     (AJ) Selain itu, pameran kerjaya membantu para pelajar menentukan kerjaya yang akan diceburi oleh mereka. (AH1) Seperti yang kita ketahui, pasaran kerjaya di Malaysia sangat luas dan masih banyak sektor pekerjaan di negara ini yang masih kosong kerana sukar untuk mencari tenaga kerja yang benar-benar berkelayakan. (AC) Sebagai contohnya, sektor perubatan di Malaysia menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja yang kritikal, khususnya tenaga pakar disebabkan peletakan jawatan oleh doktor dan pakar perubatan untuk memasuki sektor swasta serta berkembangnya perkhidmatan kesihatan dan perubatan. (AH2) Setelah menyedari  hakikat ini, para pelajar akan lebih berminat untuk menceburi bidang perubatan kerana pameran kerjaya yang dilaksanakan amat membantu memberikan pengetahuan am tentang kerjaya ini. (AH3) Charles Schwab, seorang ahli perniagaan yang terkemuka di Amerika Syarikat pernah mengatakan, “Minat dan kesungguhan yang tidak terhad merupakan jalan mudah bagi seseorang itu mencapai kejayaan.” (AH4) Para pelajar yang masih bingung untuk menentukan kerjaya pilihan mereka akan dapat memilih bidang kesukaan mereka. (AH5) Dalam hal ini, pameran kerjaya memberikan gambaran bidang-bidang pekerjaan dengan merangkumi skop pasaran kerjaya yang luas dan tidak tertumpu kepada pekerjaan yang popular sahaja. (AP) Tegasnya, pameran kerjaya dapat membantu para pelajar memilih kerjaya  untuk masa hadapan.

     (AJ) Di samping itu, pameran kerjaya dapat menambah pengetahuan am para pelajar. (AH1) Sistem pendidikan di Malaysia yang kebanyakannya berorientasikan peperiksaan telah menyebabkan para pelajar kekurangan pengetahuan am berbanding dengan pelajar-pelajar di negara maju. (AH2) Ilmu-ilmu am dan pendidikan umum para pelajar di negara ini terlalu cetek disebabkan mereka berusaha untuk memastikan keputusan peperiksaan yang cmerlang. (AC) Sebagai contoh, rata-rata pelajar hanya mengenali kerjaya-kerjaya yang sering disebut-sebut seperti doktor, jurutera, juruterbang, dan sebagainya, sedangkan terdapat banyak lagi pekerjaan lain yang wujud dalam pasaran kerjaya. (AH3) Pameran kerjaya seperti ini sudah tentu dapat membuka mata para pelajar bahawa terlalu banyak bidang pekerjaan yang boleh diceburi oleh mereka sekali gus mereka dapat mengetahui perihal tugas-tugas dan pendapatan bulanan sesuatu kerjaya tersebut. (AP) Pendek kata, pameran kerjaya dapat meningkatkan pengetahuan am para pelajar Malaysia supaya negara ini dapat melahirkan modal insan yang berkualiti dan dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah  dengan rakyat di negara-negara maju yang lain.

     (AJ) Seterusnya, para pelajar Tingkatan Lima dapat melakukan penelitian untuk memilih institusi pengajian tinggi yang sesuai dengan mereka. (AH1) Semasa pameran diadakan, terdapat banyak IPTS yang terlibat dan para pelajar dapat mengenal pelbagai IPTS yang terdapat di seluruh negara. (AH2) Mereka bukan sahaja dapat memperoleh informasi terkini berkenaan alam kerjaya, tetapi juga mengenal pasti IPTS yang sesuai dengan kelayakan dan minat mereka, bak kata bidalan, “sambil menyelam minum air.” (AC) Sebagai contohnya, para pelajar dapat meneliti secara mendalam mengenai kelebihan atau kekurangan sesebuah IPTS jika dibandingkan dengan IPTS yang lain dari segi kualiti pendidikan, kemudahan, bayaran untuk kursus-kursus tertentu, dan sebagainya. (AH3) Peluang yang tersedia ini dapat membantu para pelajar menetapkan destinasi mereka untuk menyambung pelajaran walaupun ramai dalam kalangan pelajar lebih berminat untuk meneruskan peringkat pendidikan mereka di institusi pengajian tinggi awam (IPTA). (AH4) Walau bagaimanapun, peluang untuk mengenal institusi-institusi pengajian tinggi yang berprestij di negara ini haruslah dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya kerana pepatah Inggeris ada mengatakan,  Ambillah kesempatan sepenuhnya daripada keadaan atau peluang yang ada sebelum peluang itu lenyap.” (AP) Oleh itu, sudah terang lagi bersuluh bahawa pameran kerjaya dapat membantu para pelajar meneliti institusi pengajian tinggi yang menjadi pilihan mereka untuk menyambung pelajaran.

     (A Ksmpln) Sebagai kesimpulannya, pameran kerjaya dapat memenuhi tuntutan dan keinginan golongan yang akan menamatkan alam persekolahan, khususnya para pelajar Tingkatan Lima untuk menentukan pekerjaan yang baik dan bersesuaian dengan kepakaran mereka seterusnya menjamin masa hadapan negara yang membangggakan. (A Cdngn) Semua pihak yang berkenaan perlu berganding bahu ibarat ke bukit sama-sama didaki, ke lurah sama-sama dituruni untuk memantapkan pengisian pameran kerjaya supaya para pelajar dapat memperoleh manfaat yang maksimum. (A Pndpt) Jika semua pihak termasuk pelajar bekerjasama untuk menjayakan program ini, sudah pasti, matlamat pelaksanaannya akan dapat dicapai menerusi usaha-usaha yang padu dan berterusan kerana yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang. (A Pntp) Oleh itu, pameran kerjaya tidak perlu dinafikan lagi keberkesanannya untuk membentuk jati diri para pelajar kerana kita semua sudah sedia maklum bahawa pelajar yang akan berjaya pada masa hadapan sudah tentu memasang impian dan cita-cita yang tinggi dan impian tersebutlah yang akan memandu seseorang pelajar itu ke arah kejayaan yang cemerlang, gemilang, dan terbilang.




Soalan 2:.
Displin yang semakin merosot dalam kalangan pelajar sekolah berpunca daripada sikap ibu bapa yang kurang memberikan perhatian kepada anak-anak. Bincangkan kenyataan ini.

Jawaban:
Strategi:
T: Disiplin
K: Sikap Ibu Bapa
F: Umum
Isi:
1) ibu bapa kurang memberikan perhatian kepada anak mereka
2) ibu bapa sibuk bekerja
3) ibu bapa sentiasa bergaduh
4) ibu bapa tidak memberi kasih sayang yang secukupnya

 
            (AR1) Isu tentang disiplin dalam kalangan pelajar yang semakin merosot di sekolah telah menjadi buah mulut masyarakat. (AR2) Berita tentang isu ini sering disiarkan di media massa sama ada di media cetak atau di media elektronik. (AR3) Bilangan murid yang terjebak dalam masalah disiplin semakin meningkat dari hari ke hari secara mendadak bagai cendawam tumbuh selepas hujan. (AR4) Jika masalah ini tidak diatasi, pelbagai kesan akan timbul kerana setiap yang luka sudah pasti meninggalkan parutnya. (AR5) Banyak punca yang menyebabkan disiplin pelajar semakin membimbangkan seperti pengaruh rakan sebaya, media masa, dan sebagainya. (AA) Sebenarnya, sikap ibu bapa merupakan punca utama yang menyebabkan anak mereka terlibat dalam masalah disiplin kerana jikalau tiada angin masakan pokok bergoyang.

        (AJ) Ibu bapa pada zaman ini tidak memberikan perhatian kepada anak mereka. (AH1) Mereka tidak mempedulikan pelajaran anak mereka kerana sibuk dengan urusan seharian. (AH2) Hal ini menyebabkan anak mereka mengabaikan pelajaran dan hilang rasa minat untuk belajar. (AH3) Oleh sebab mereka kurang memberikan perhatian, anak-anak bebas melakukan apa-apa sahaja kerana mengganggap mereka sudah besar dan dewasa. (AH4) Anak-anak yang tanpa kawalan akan terdedah dengan pelbagai gejala negatif di persekitaran mereka. (AC) Sebagai contohnya, ibu bapa mereka tidak mengambil kisah sama ada anak-anak berada di rumah atau di lur rumah. (AP) Oleh sebab kurang diberikan perhatian, anak-anak akan meberontak dan seterusnya terjebak dalam gejala yang tidak diingini.  

        Selain itu, (AJ) ibu bapa yang sentiasa sibuk bekerja di luar telah menyebabkan disiplin anak-anak mereka semakin merosot. (AH1) Mereka lebih mementingkan pekerjaan mereka berbanding dengan keadaan anak. (AH2) Mereka beranggapan bahawa dengan mencari duit yang banyak, mereka dapat membeli apa-apa sahaja yang dikehendaki oleh anak-anak mereka. (AH3) Mereka juga tidak berkesempatan untuk meluangkan masa dengan anak mereka. (AC) Sebagai contohnya, ibu bapa yang tidak meluangkan masa dengan anak akan menyebabkan anak mereka membuat kerja lain yang tidak senonoh kerana mereka beranggapan bahawa mereka boleh melakukan apa-apa saja jika ibu bapa tidak berada di  sisi mereka. (AP) Tegasnya, kesibukan ibu bapa telah membuka peluang yang luas kepada anak-anak untuk terlibat dengan gejala yang tidak diingini seperti merokok, melepak, dan sebagainya.

        Bukan itu sahaja, (AJ) ibu bapa yang sering bergaduh juga akan menjejaskan disiplin anak mereka. (AH1) Sesetengah ibu bapa yang hubungannya tidak serasi, mereka akan mula bergaduh dan bercakap kasar di depan anak mereka. (AH2) Jika mereka berbuat demikian, anak mereka akan belajar atau meniru perkara yang telah dilakukan oleh ibu bapa mereka seperti kata pepatah Melayu, ”Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi”. (AH3) Dalam keadaan tersebut, minda anak-anak akan terjejas dan menganggap bahawa keluarganya tidak selamat. (AC) Sebagai contohnya, mereka akan belajar untuk bergaduh dan bercakap kasar di sekolah apabila diganggu oleh pelajar lain seperti yang telah dilakukan oleh ibu bapa mereka. (AP) Oleh hal yang demikian, ibu bapa perlu menjaga tingkah laku sendiri supaya anak mereka tidak akan melakukan perkara tidak baik di sekolah kerana bapa borek anak rintik.

        Di samping itu, (AJ) ibu bapa tidak memberikan kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak. (AH1) Hal ini berlaku apabila ibu bapa tidak dapat meluangkan masa bersama-sama dengan anak-anak lantara kesibukan bekerja. (AH2) Setelah penat bekerja, mereka ingin berehat untuk melepaskan lelah dan tidak mahu diganggu. (AH3) Oleh sebab keletihan, mereka akan cepat naik angin jika anak-anak menimbulkan masalah. (AH4) Sesetengah ibu bapa yang bengis dan garang suka memarahi anak mereka jika mereka melakukan kesalahan walaupun kesalahan itu kecil. (AH5) Apabila ibu bapa memarahi anak mereka dengan nada yang kuat, mereka akan belajar dan berbuat demikian di sekolah. (AC) Sebagai contohnya, mereka akan bercakap dengan kuat dan memarahi guru jika mereka dimarahi oleh guru kerana tidak menyiapkan tugasan yang diberikan. (AP) Pendek kata, anak-anak yang kehausan kasih sayang akan bertindak ganas atau kasar untuk melepaskan kemarahan atau ketidakpuashatiannya.

        Secara kesimpulannya, (A Ksmpln) masalah disiplin dalam kalangan pelajar perlu dibendung seperti kata pepatah Melayu,” cegah sebelum parah.” (A Pnln) Jika masalah ini tidak disekat dengan secepat mungkin, masalah ini akan menjadi budaya dan popular dalam kalangan generasi pelapis negara pada masa akan datang. (A Cdgn) Oleh itu, semua pihak selain ibu bapa perlu berganding bahu bagai aur dengan tebing  untuk menyelesaikan masalah ini sebelum menjadi teruk. (A Pndpt) Pepatah melayu mengatakan bahawa seekor kerbau membawa  lumpur, semuanya akan terpalit. (A Pndpt) Kepada ibu bapa, mereka mestilah ingat bahawa disebabkan nila setitik maka rosaklah susu belanga. Jadi, (ACdgn) mereka perlu sentiasa menjaga dan mengawasi anak mereka supaya tidak terbabit dalam masalah disiplin di sekolah.


Soalan 3 (Dimensi Masyarakat)
Soalan: Semangat kejiranan dalam kalangan rakyat di negara kita semakin longgar. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang harus diambil supaya semangat kejiranan dalam kalangan penduduk dapat ditingkatkan.

Jawapan:
Strateg:
T=Semangat kejiranan
K=Langkah
F=Umum
Isi:
1. mengadakan aktiviti gotong-royong
2. mengadakan majlis-majlis rumah terbuka
3. mengadakan aktiviti Hari Keluarga
4. melibatkan diri dalam aktiviti sosial seperti persatuan atau pertubuhan
5. menyemarakkan budaya kunjung-mengunjungi.

Jiran ialah orang yang tinggal di sekeliling rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan, dan juga di belakang rumah kita. Jika kita tinggal dalam satu taman atau kampung, mereka akan dikenali sebagai jiran tetangga. Jiran sangat penting kerana merekalah yang akan menjadi sahabat  dan orang yang akan membantu kita apabila kita menghadapi kesusahan nanti.  Pepatah Melayu mengatakan bahawa  `Jiran sepakat membawa _______’.  Dalam hal ini, kita perlulah mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa dapat bersatu hati untuk melakukan sesuatu perkara yang positif. Oleh itu, langkah-langkah yang wajar hendaklah diambil untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat.

 Salah satu langkah yang harus diambil ialah penduduk setempat hendaklah mengadakan aktiviti gotong-royong. Melalui aktiviti gotong-royong, jiran-jiran dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan.  Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa `tak kenal _______ tak cinta’.  Sebagai contohnya, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara, dan sebagainya.  Melalui cara ini, kita dapat menjalinkan dan meningkatkan hubungan sesama jiran.

            Selain itu, penduduk juga hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka semasa sesuatu sambutan perayaan.  Amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan jiran.  Melalui majlis rumah terbuka, jiran dapat bertanya khabar dan bercerita tentang pengalaman dengan lebih dekat.  Seterusnya, melalui majlis rumah terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah.  Sebagai contohnya, semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Krismas, Deepavali, dan sebagainya majlis-majlis rumah terbuka hendaklah dijadikan acara tahunan. Tegasnya, majlis rumah terbuka mampu mendekatkan ahli masyarakat  untuk bertemu muka dan berkenalan dengan lebih erat lagi.

            Seterusnya, persatuan penduduk atau pihak swasta boleh mengadakan aktiviti Hari Keluarga untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat.  Semasa aktiviti ini diadakan, semua ahli keluarga jiran akan turut serta untuk melibatkan diri dalam aktiviti seperti berkayak, memasukkan air ke dalam botol, terompah gajah, dan sebagainya.  Sebagai contohnya, aktiviti hari keluarga hendaklah diadakan pada setiap musim cuti persekolahan pada hujung minggu.  Apabila aktiviti hari keluarga diadakan, kemesraan akan terjalin bukan sahaja antara ibu dengan bapa, malah anak-anak juga. Aktiviti ini boleh diadakan di padang bola sepak, gelanggang bola tampar, taman rekreasi, atau padang sekolah yang berhampiran. Oleh itu, dengan mengadakan aktiviti ini, hubungan yang erat sesama jiran dapat dibentuk yang secara tidak langsung akan menimbulkan perasaan ingin membantu antara satu dengan yang lain seperti yang terungkap dalam peribahasa Melayu ke bukit sama didaki, ke lurah sama __________.

            Bukan itu sahaja,  pihak kerajaan  juga harus menggalakkan rakyat supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial seperti persatuan atau pertubuhan.  Penduduk setempat mestilah membentuk satu persatuan yang mempunyai satu sistem organisasi yang teratur.  Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah melibatkan semua penduduk sebagai ahli.  Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam masyarakat seperti Pertubuhan Rukun Tetangga, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian, dan sebagainya.  Sebagai contohnya, melalui Pertubuhan Rukun Tetangga, masyarakat setempat secara bergilir-gilir mengawasi keselamatan taman untuk mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku.  Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa Melayu, iaitu ibarat ____ dengan tebing yang mementingkan semangat sandar-menyandar atau saling-membantu dalam kehidupan.
            Seterusnya, kita pula hendaklah menyemarakkan budaya kunjung-mengunjungi dalam kalangan penduduk sebagai langkah untuk memupuk dan mengekalkan semangat kejiranan.  Dalam hidup bermasyarakat, kita digalakkan menziarahi jiran kita. Melalui aktiviti ini, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Sebagai contohnya, kita perlu berkunjung ke hospital jika kita mendapat berita bahawa jiran kita dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau kemalangan.  Walaupun pepatah Melayu  mengatakan bahawa berat mata __________ berat lagi bahu memikulnya, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang pada prinsip cubit paha kiri, paha kanan _______ juga. Maksudnya, jika kita mempunyai semangat kejiranan yang tinggi, kita akan dapat merasai segala kesusahan dan keperitan yang dialami oleh jiran kita. Pendek kata, melalui lawatan kita itu, sekurang-kurangnya kita dapat meringankan penderitaan yang dialami oleh mereka.

            Sebagai kesimpulannya,  kita perlu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat.  Dalam era globalisasi ini, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan orang lain semakin menebal seperti yang terkandung dalam pepatah Melayu bagai ______ di dalam belukar melepaskan pucuk  masing-masing.  Jika hal ini dibiarkan,  semangat kejiranan akan luntur dan seterusnya akan menjejaskan perpaduan negara. Ada pepatah yang mengatakan bahawa bersatu kita teguh, _______ kita roboh.  Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan akan bertambah utuh dan teguh.  Dalam hal ini, kita mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan semangat kejiranan sentiasa terpelihara supaya negara kita sentiasa aman dan harmoni.

Soalan 4 (Dimensi Global):
Rakyat Malaysia digalakkan supaya menguasai bahasa asing. Huraikan kepentingan rakyat Malaysia menguasai bahasa asing.

Jawapan:
Strategi:
T=Bahasa asing
K=Kepentingan
F=Umum/huraian

Isi:
  1. kita dapat menjalinkan hubungan dua hala dengan lebih mudah dan berkesan dengan negara lain
  2. dapat menambah ilmu pengetahuan seseorang.
  3. dapat mendalami dan memahami budaya penduduk dari luar negara.
  4. perkongsian teknologi antara negara maju dengan negara membangun
  5. pemindahan ilmu akan menjadi lebih lancar.
     
              (AR1) Dalam dunia yang terbentang luas ini, terdapat pelbagai negara. (AR2) Di setiap negara pula, mereka memiliki pelbagai bahasa. (AR3) Antara bahasa yang telah diiktiraf sebagai bahasa dunia termasuklah bahasa Inggeris, bahasa Arab, bahasa Perancis, bahasa Cina dan bahasa Rusia. (AR4) Bahasa ini diterima sebagai bahasa dunia kerana bahasa tersebut mempunyai penutur yang banyak dan pelbagai ilmu yang telah dibukukan dalam bahasa tersebut. (AR5) Sebagai rakyat Malaysia, kita digalakkan untuk menguasai bahasa tersebut. (AA) Terdapat banyak _________ yang akan kita peroleh, jika kita menguasai bahasa asing.

                  (AJ) Satu daripada kepentingan bahasa asing ialah kita dapat menjalinkan hubungan dua hala dengan lebih mudah dan berkesan dengan negara lain. (AH1) Sebagai negara yang bebas dan berkecuali, negara kita banyak menjalinkan hubungan dua hala dengan negara lain seperti hubungan perdagangan, politik dan keselamatan. (AH2) Dalam hal ini, rakyat negara kita terlibat dalam banyak perkara di negara yang berkenaan. (AH3) Dalam kebanyakan hubungan ini, kita perlu menjalinkan hubungan dua hala dengan negara-negara maju di dunia dengan menggunakan bahasa Inggeris. (AC) Sebagai contohnya, apabila kita menguasai bahasa Inggeris, kita telah berjaya menjalinkan hubungan perdagangan secara dua hala dengan negara Amerika Syarikat dan Britain yang mempunyai pasaran ekonomi yang luas. (AH4) Hal ini menguntungkan negara kita dengan mengembangkan dan meluaskan pasaran ekonomi yang sedia ada. Oleh itu, (AP) penguasaan dalam bahasa asing dapat memudahkan kita memajukan ekonomi negara dengan menjalinkan hubungan dengan negara lain.

                  Selain itu, (AJ) penguasaan dalam bahasa asing juga dapat menambah ilmu pengetahuan seseorang. (AH1) Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat pelbagai ilmu yang bermanfaat telah dibukukan atau diterbitkan dalam pelbagai bahasa asing. (AH2) Melalui penguasaan pelbagai bahasa asing, kita akan dapat membaca buku karya penulis-penulis besar di dunia. (AC) Sebagai contohnya, hasil-hasil karya penulis agung Eropah seperti karya Tome Pires yang ditulis dalam bahasa Belanda dan hasil karya falsafah  karya Socrates yang ditulis dalam bahasa Yunani dan sebagainya dapat dikaji dan dimanfaatkan sepenuhnya jika kita menguasai bahasa tersebut. (AH3) Hal ini dapat mengelakkan kita daripada menjadi seperti katak di bawah ________ dengan tidak mengetahui hal semasa dan ilmu yang telah sedia ada. (AH4) Pepatah Melayu juga menyatakan bahawa membaca ______ ilmu. (AH5) Semakin banyak bahan yang kita baca, semakin banyak ilmu yang akan kita peroleh. Oleh itu, (AP) kita akan dapat mempelajari pelbagai ilmu pengetahuan yang terdapat di seluruh dunia dengan menguasai bahasa asing.

                   Di samping itu, (AJ) kita juga dapat mendalami dan memahami budaya penduduk dari luar negara. (AH1) Hal ini penting kerana apabila kita berada di negara orang lain, kita mestilah memahami adat dan budaya mereka. (AH2) Pepatah Melayu mengatakan bahawa di mana bumi kita pijak, di situlah langit kita ______. (AC) Sebagai contohnya, dengan mempelajari bahasa Jepun, kita dapat memahami budaya dan tradisi hidup mereka dengan lebih mendalam apabila kita bergaul dengan mereka. (AH3) Melalui cara ini, kita dapat mengelakkan diri daripada melakukan sesuatu yang bertentangan dengan budaya mereka atau yang boleh menyinggung perasan mereka. (AP)  Oleh itu, kita akan menghargai dan menghormati sesuatu budaya lain dengan memahami bahasa mereka.

                   Bukan itu sahaja, (AJ) perkongsian teknologi antara negara maju dengan negara membangun juga memerlukan pengetahuan dalam bahasa asing. (AH1) Hal ini dikatakan demikian kerana kebanyakan negara maju menggunakan bahasa ibunda mereka dalam teknologi yang telah dihasilkan. (AH2) Untuk mempelajari teknologi yang dicipta oleh mereka,  kita harus menguasai bahasa mereka agar memudahkan pemahaman kita terhadap teknologi tersebut. (AC) Sebagai contohnya,  angkasawan Malaysia yang pertama telah dihantar ke Rusia dan mereka dikehendaki mempelajari dan menguasai bahasa Rusia dalam persediaan mereka untuk ke angkasa. (AH3) Usaha ini perlu dilakukan kerana kelengkapan yang digunakan semuanya menggunakan bahasa tersebut. Oleh itu, (AP)  untuk mengelakkan sebarang kesulitan, kita dikehendaki menguasai bahasa asing untuk memudahkan sebarang urusan.

            Seterusnya, (AJ) pemindahan ilmu akan menjadi lebih lancar jika kita menguasai bahasa asing. (AH1) Apabila kita belajar di luar negara, terdapat pelbagai ilmu yang akan kita peroleh. (AH2) Penguasaan ilmu itu akan menjadi sia-sia atau tidak bermakna jika kita tidak dapat memindahkannya dalam bahasa sendiri untuk disebarkan. Namun, (AH3) apabila kita menguasai bahasa asing kita akan dapat memindahkan ilmu itu kepada rakyat di negara kita dengan lebih mudah dengan menggunakan bahasa kita sendiri. (AC) Sebagai contohnya, rakyat Jepun memanfaatkan ilmu yang diperoleh dari negara lain dengan menterjemahkan ilmu dan teknologinya dalam bahasa mereka. (AH4) Hal ini menyebabkan rakyat Jepun telah memperoleh ilmu baharu dari negara lain. Bukan itu sahaja, (AH5) mereka pula dapat memajukan ilmu yang diperoleh itu dengan membuat penambahbaikan dan menghasilkan ciptaan yang lebih baik. Tegasnya, (AP) melalui penguasaan yang baik dalam bahasa asing, kita dapat memindahkan ilmu dari bahasa asing kepada bahasa kita.

                 Sebagai kesimpulannya, (A Ksmpln) penguasaan bahasa asing sangat mustahak untuk berhubung dengan masyarakat luar. (A Pnln) Walaupun bahasa Melayu bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara, namun bahasa asing amat penting untuk kemajuan negara. (A Pndpt) Penggunaan bahasa asing membolehkan masyarakat dan negara mempunyai hubungan yang lebih luas dan mudah menerima maklumat antarabangsa. (A Pnln) Hal ini secara langsungnya mempercepat pembangunan negara. Oleh itu, (A Pndpt) bahasa asing merupakan bahasa yang amat penting untuk menimba ilmu pengetahuan, komunikasi antarabangsa, bidang teknologi, dan bidang perniagaan.      

 Soalan 5


Judul cerpen: Sebutir Pasir di Kaki.

Nama Pengarang: Norhisham Mustafa

Penerbit: Dewan Bahasa Dan Pustaka

Tahun: 2000

Saya telah terbaca sebuah cerpen dalam buku antologi “Kerusi” yang bertajuk "Sebutir Pasir di Kaki". Cerpen ini ditulis oleh Norhisham Mustafa dan sesuai untuk dibaca oleh semua lapisan masyarakat. Terdapat beberapa keistimewaan cerpen ini yang ingin saya paparkan kepada semua pembaca. Tema, persoalan, plot, nilai dan pengajaran yang diketengahkan dalam cerpen ini telah berjaya dijalin dengan sempurna dan dapat memikat pembaca.

Cerpen ini mengisahkan seorang pemuda yang bernama Fuad. Dia berasa marah apabila mendapati geran tanah pusaka milik keluarganya diambil oleh Datuk Sukar, iaitu bapa kekasihnya. Fuad marah kerana kejadian itu berlaku ketika dia berada di Singapura. Dia mengambil keputusan untuk berjumpa dengan Datuk Sukar untuk meminta geran tanah tersebut semula. Fuad bersemuka dengan orang kaya itu dan Datuk Sukar menjelaskan bahawa tanah itu akan dijadikan tapak kilang tekstil oleh sebuah syarikat dari Hong Kong. Datuk Sukar menyatakan bahawa tauke Ban Heng hendak memajukan tanah tersebut secara usaha sama dengan tujuan untuk memanfaatkan tanah tersebut. Walaupun Fuad akan memperoleh RM280 ribu sebagai harga tanah tersebut, dia tetap menolaknya. Akhirnya Datuk Sukar memenuhi tuntutan Fuad dan menyerahkan geran tersebut tetapi dia telah menghalau Fuad dari rumahnya, memecatnya dari jawatannya serta memutuskan hubungannya dengan Junainah, malah mengharamkan Fuad daripada menjejakkan kaki di rumahnya.

Cerpen ini bertemakan kesungguhan seorang anak muda dalam mempertahankan haknya. Fuad dengan tegasnya enggan menjual tanahnya sebaliknya berusaha untuk mendapatkan geran tanahnya semula daripada Datuk Sukar. Ketegasan Fuad harus diambil iktibar oleh semua orang supaya dapat menyelamatkan harta pusaka mereka dan tidak mudah ditipu. Persoalan yang timbul selepas membaca cerpen ini ialah tipu helah dan putar belit hartawan dalam usaha hendah merampas harta orang lain. Datuk Sukar sebenarnya membuat rancangannya untuk merampas harta pusaka Fuad dengan memberinya kerja dan merestui hubungan cinta antara Fuad dengan anaknya. Selain itu, kecintaan terhadap tanah pusaka melebihi cinta terhadap seorang gadis juga merupakan salah satu persoalan yang termuat dalam cerpen ini. Fuad rela memutuskan hubungan dengan kekasihnya daripada menyerahkan tanah pusaka milik keluarganya.

Penulis telah meletakkan beberapa watak untuk menyampaikan maksudnya. Fuad, watak utama cerpen ini merupakan anak bongsu daripada dua adik-beradiknya. Dia berusia 27 tahun dan masih bujang. Dia merupakan pekerja Datuk Sukar dan telah sempat menjalin hubungan kasih dengan anak Datuk Sukar.  Fuad merupakan seorang yang tegas dan sikapnya ini dapat dilihat apabila dia tetap tidak mahu menjual tanah pusaka walaupun ditawarkan harga yang tinggi. Dia juga berani kerana sanggup berjumpa dengan Datuk Sukar untuk mendapatkan penjelasan tentang penyerahan geran tanah oleh ibunya. Selain itu, Datuk Sukar juga merupakan salah satu watak dalam cerpen ini. dia merupakan usahawan yang berjaya dan memiliki kekayaan. Datuk Sukar suka mengambil peluang terhadap orang lain. Hal ini telah dibuktikan apabila dia meminta ibu Fuad untuk menandatangani surat penjualan tanah semasa Fuad berada di Singapura.

Di samping itu, cerpen ini memaparkan latar tempat di sekitar kawasan rumah Fuad dan rumah Datuk Sukar. Selain itu, maktab perguruan dan Dewan Negeri turut menjadi latar tempat dalam cerpen ini. Masyarakat peniaga merupakan latar masyarakat cerpen ini. Golongan peniaga diwakili oleh Datuk Sukar dan tauke Ban Heng. Seterusnya, latar masyarakat cerpen ini ialah masyarakat yang tamak. Datuk Sukar mahu memiliki tanah pusaka kepunyaan keluarga Fuad walaupun dia memiliki banyak harta. Latar masa cerpen ini pula adalah pada waktu petang, waktu Maghrib dan waktu malam.

Beberapa nilai dan pengajaran dapat digarab daripada cerpen ini yang boleh dijadikan teladan.  Antara nilai yang ada dalam cerpen ini ialah nilai kasih sayang.  Nilai ini digambarkan melalui watak Fuad yang sayang akan ibunya dan kekasihnya, Junainah. Selain itu, watak Fuad juga menggambarkan nilai keberanian.  Sebagai contohnya, dia berani menentang tindakan Datuk Sukar meskipun Datuk Sukar merupakan majikannya. Pengajaran dalam cerpen ini ialah kita mestilah berani mempertahankan hak kita. Fuad berani mempertahankan tanah pusaka keluarganya daripada diambil oleh Datuk Sukar. Pengajaran lain ialah kita hendaklah menghindarkan sikap mementingkan diri. Datuk Sukar mementingkan diri dan tidak berunding dengan Fuad terlebih dahulu sebelum bertindak mengambil tanah tersebut.

Kesimpulannya, cerpen ini sangat sesuai dibaca oleh remaja khususnya pelajar sekolah kerana ia dapat membina sifat jati diri dalam kalangan remaja. Nilai keberanian yang terpapar dalam cerpen ini dapat dijadikan teladan untuk segenap lapisan masyarakat.  Nilai mulia seperti kasih sayang terhadap ahli keluaga mampu dijadikan teladan dalam kalangan remaja. Dengan adanya sorotan karya ini, ibu bapa dan para remaja sedar akan kepentingan menjaga hak keluarga mereka. Cerpen ini turut ditunjangi penguasaan bahasa yang indah dan berkesan. Oleh itu, cerpen ‘Sebutir Pasir di Kaki’ karya Norhisham Mustafa wajar dibaca oleh pelbagai lapisan masyarakat.

3 Pertanyaan:

Hannah Ramli berkata...

terima kasih..sangat bermanfaat

farahdila jamali berkata...

terima kasih sangat-sangat. bahan ilmu ini sangat membantu saya dan pelajar.

Unknown berkata...

Terima kaaih

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Perhubungan

Jika mempunyai sebarang soalan atau pertanyaan
bolehlah bertanya di sini
atau
hantarkan E-mail ke



Insyallah pertanyaan anda akan dilayan

Akhbar Online

Akhbar Online
Berita Harian Online

.

.
Metro Online

.

.
NSTP Online

.

.
Utusan Online

.

.
The Star Online

.

.
Sinar Harian Online